TIDAK mudah berputus asa, penyanyi Syafeek Ikhwan terus mengatur langkah dengan menampilkan karya baharu buat peminat muzik tanah air.

Terbaru, bekas juara pertandingan nyanyian i-Sing Dunia (2018) dan juga juara program realiti Lagu Cinta Kita 3 terbitan TV3 bersama Zazo Maulana itu mempertaruhkan lagu genre balada berjudul Lafaz.

Karya yang bermakna buat dirinya itu dilancarkan pada 30 Disember lalu dan boleh didapati di kesemua platform muzik digital, selain video lirik di saluran YouTube Alternate Records & Talents.

Menurut Syafeek, Lafaz dijangka bakal menyentuh jiwa pendengar kerana menampilkan jalan cerita menarik dan lirik yang mempunyai maksud mendalam.

“Saya merasakan bait-bait lirik lagu ini sangat unik dan mempunyai cerita tersendiri. Ia mengisahkan sepasang kekasih yang menyesal kerana tidak menghargai apa yang ada di depan mata dan ingin menebus kesalahan mereka.

Lafaz membawa mesej kepada para pendengar terutamanya mereka yang mempunyai pasangan agar sentiasa menghargai orang di sekeliling kerana belum tentu ia akan kekal di sisi,” katanya.

Penyanyi berbakat besar itu mengharapkan agar buah tangan terbaharu itu diterima ramai dan membuka lebih banyak peluang untuknya mengembangkan bakat.

Iklan

“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan sentiasa memberi semangat untuk saya terus berkarya,” katanya yang sebelum ini pernah tampil dengan single Alangkah Indah.

Single Lafaz juga merupakan runut bunyi kepada drama Bukan Lelaki Terhebat, lakonan Adam Lee dan Sweet Qismina yang akan disiarkan menerusi slot Samarinda TV3, bermula 26 Januari depan.

Iklan


Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.