‘Dengarkanlah Di Sepanjang Malam Aku Berdoa
Bersujud Dan Lalu Aku Meminta
Semoga Kita Bersama…’

Bagi pengguna media sosial, lirik lagu ini pasti tidak asing buat anda. Bahkan ada yang menyifatkan lirik berkenaan telah menghantui hidupnya kerana sering didengari.

Penyanyinya, Raffa Affa atau nama sebenarnya Raffa Aldiansyah mengakui lagu berjudul Cinta Sampai Mati itu membawa tuah kerana melonjakkan namanya bukan hanya di Indonesia, tetapi juga di Malaysia.

Pemuda kelahiran Depok, Jawa Barat itu juga menyifatkan kelahiran single sulung itu ibarat mimpi yang menjadi nyata.

“Sebelum ini, saya sering membawakan genre lagu-lagu yang berkonsepkan ketuhanan mahupun selawat serta nasyid.

“Selain itu, saya ada juga menyanyikan lagu popular penyanyi lain dan dimuat turun ke dalam akaun media sosialnya.

“Bila sering menyanyikan lagu popular, saya juga berharap mempunyai lagu yang boleh hits dan ternyata impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Tambah Raffa, pada asalnya, single ini diberi judul Dengarkanlah oleh penulis lirik sebelum diputuskan oleh label Botram Media Entertainment untuk judul yang lebih universal.

Iklan

“Pihak rakaman berharap lagu ini dapat disampaikan mesejnya yang mempunyai maksud cinta kepada kedua ibu bapa yang masih ada mahupun yang telah tiada.

“Lagu ini sebenarnya tidak terhadap kepada pasangan sahaja tetapi juga kepada keluarga,” ujarnya mengenai lagu ciptaan Ayu Rizki Yani, isteri kepada Dodhy gitaris kumpulan Kangen Band.

Iklan

Lagu ini dilancarkan di bawah label muzik Hayat Kreatif Studio untuk pasaran Malaysia, Brunei serta Singapura manakala untuk pasaran di Indonesia dan lain-lain negara dilancarkan di bawah label muzik Botram Media Entertainment.

Sama seperti penyanyi baru lain, tiada apa yang diharapkan Raffa selain kehadirannya dan lagu tersebut mampu memberi nuansa baru kepada industri muzik.