RATU Rock negara, Ella melakar sejarah manis apabila Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Sabtu dan Ahad menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh Malaysia Book of Records.

Pengiktirafan itu sekali gus menyaksikan Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 56, menjadi artis tempatan pertama meraih kejayaan tersebut.

Ella yang ditemui selepas konsert berakhir mengakui terharu dengan pengiktifan tersebut dan dalam masa sama bangga dengan diri dan peminatnya.

“Saya hargai pengiktirafan yang diberikan. Saya juga bangga diri sendiri selain anggap ia sebagai penghargaan daripada peminat. Terima kasih atas sokongan yang diberikan,” ujarnya kepada SinarPlus.

Ella anggap pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai pencapaian membanggakan buat diri dan kerjaya seninya.

Menepis konsert berkenaan adalah penampilan terakhirnya, Ella yang meraikan sambutan ulang tahun ke-35 dalam industri muzik tanah air mengakui akan terus menghiburkan peminat selagi dirinya diterima.

“Alhamdulillah pertama sekali syukur di atas semua nikmat yang ALLAH SWT kurniakan. Kelu lidah untuk saya ungkapkan perasaan ketika ini.

“Malam ini terpahat sebagai memori yang sememangnya manis setelah bergelar penghibur sepanjang 35 tahun dalam karier saya.

“Saya sangat teruja dengan sambutan luar biasa daripada semua penonton dan peminat yang hadir di konsert ini. Jangan gusar dan risau, doakan saya dapat terus sentiasa mewarnai dunia anda selagi mana diizinkan,” katanya.

Sambutan luar biasa yang diberikan kepada penyanyi lagenda itu membuktikan kehebatannya yang tiada tanding dan berada di levelnya yang tersendiri.

Mengulas tentang aksi bertenaga yang dipamerkan sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung, kata Ella, semangatnya mengatasi segala-galanya.

Iklan

“Saya melakukan exercise menjalani rutin yang konsisten. Namun paling penting adalah
Semangat saya sendiri yang mahu melakukan yang terbaik untuk kosnert ini,” katanya.

Konsert anjuran Hitman Solutions dengan kerjasama RockQueen itu menyaksikan Ella menyampaikan 35 buah lagu hits seperti Sembilu, Pengemis Cinta, Tiada Tangis Lagi, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar, Permata, Standing In The Eyes Of The World, Nuri dan banyak lagi.

Tidak hanya itu, Ella turut tampil berduet dengan suaminya, Kapten Azhar Husaini Ghazali menerusi lagu Peace Love Rindu dan penampilan istimewa bersama Amy Search menerusi lagu Dua Insan Bercinta.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan termasuklah Datuk Sheila Majid, Ziana Zain, Misha Omar, Rozita Che Wan, Noryn Aziz, Nurul Depp, Aina Abdul, Ara Johari, Didie Alias dan ramai lagi.

Iklan

(FOTO: HITMAN SOLUTIONS)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi