SEBUT sahaja nama Ummi Nazeera pasti sahaja peminat filem dan drama tempatan maklum akan kehebatan lakonan yang dijayakannya.

Apatah lagi bila membawakan watak air mata, beliaulah juaranya. Sehabis jiwa diberikan demi menghidupkan karakter yang diberi, sekali gus membuktikan komitmennya pada dunia lakonan bukan main-main.

Pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin itu berkata, dirinya berasa puas apabila penonton menghargai lakonannya dengan memberi pelbagai maklum balas positif sebagai tanda sokongan untuk beliau terus berkarya.

Justeru, biarpun tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Popular pada Anugerah Tonton Drama Sangat 2023 yang bakal berlangsung pada 12 Mac depan, wanita 33 tahun itu tidak mahu meletakkan sebarang harapan.

“Saya sebenarnya tidak meletakkan sebarang harapan untuk apa-apa anugerah kerana lebih kepada mahu melihat respons daripada penonton setiap kali tampil dengan naskhah baharu.

“Pada tahun lalu saya berlakon dua drama sahaja iaitu Risik Pada Hati dan Rindu Kasih. Alhamdulillah kedua-dua drama tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Tonton Drama Sangat 2023 di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Biarpun sibuk bekerja, keluarga tetap menajdi keutamaan Ummi.

Tambah Ummi, penglibatannya dalam industri seni bukanlah baharu, malah pernah terlibat dalam pelbagai projek lakonan dan turut tercalon dalam majlis anugerah.

Kualiti lakonan

Melihat pengiktirafan tersebut sebagai satu bonus, beliau yang mula dikenali ramai selepas pembabitannya dalam drama Nur Kasih pada 2009 itu bagaimanapun lebih selesa untuk memberi fokus hanya kepada kualiti lakonannya dari semasa ke semasa.

“Suka tengok bila penonton muat naik pelbagai babak melibatkan karakter saya dalam drama yang dilakonkan di media sosial terutama TikTok kerana saya percaya watak tersebut mungkin berjaya meninggalkan kesan kepada mereka.

“Saya anggap sudah menang dan itulah pengiktirafan sebenar yang diberikan kepada saya. Saya hargai lakonan semula yang mereka buat, komen dan sebagainya yang bagi saya cukup mencuit hati,” katanya merujuk pada watak Hayfa dan Salina dalam kedua-dua drama terbabit.

Dalam pada itu, anak kelahiran Besut, Terengganu itu juga mengakui sehingga kini masih mengambil kelas lakonan demi memastikan lakonannya sentiasa memberikan impak kepada penonton, selain untuk kepuasan sendiri.

Berguru dengan jurulatih lakonan terkenal, Fatimah Abu Bakar, Ummi tidak kisah untuk memperuntukkan sedikit kos untuk tujuan tersebut.

“Saya sentiasa teruja untuk mengambil kelas lakonan dan ia adalah inisiatif sendiri tanpa diminta pihak produksi atau mana-mana pihak.

“Bagi saya ia penting untuk menggilap kembali kemahiran lakonan, selain mendapatkan pandangan berbeza daripada guru lakon tentang sesuatu karakter yang saya jayakan.

“Lakonan adalah minat dan jiwa saya. Jadi saya mahu buat betul-betul agar lakonan dapat beri impak. Atas sebab itu juga saya tidak mengambil tawaran secara berturut-turut, sebaliknya terhad kepada dua atau tiga drama sahaja dalam tempoh setahun,” katanya.

Iklan

Ramadan

Berkongsi perkembangan terbaharunya, termasuk perancangan menjelang Ramadan pada hujung bulan ini, ibu kepada dua cahaya mata perempuan, Ayra Aneesah, 5, Aysha Arsylia, 2, berkata, beliau akan bercuti seketika daripada lakonan dan hanya kembali ke set penggambaran pada Mei depan.

“Insya-ALLAH sepanjang Ramadan ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran dan hanya terikat dengan komitmen menjayakan kempen, termasuk tanggungjawab saya sebagai duta satu jenama tudung.

“Jadi tumpuan saya lebih kepada keluarga dan sangat teruja untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan suami,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ummi, penonton akan tetap dapat menonton lakonanya di kaca televisyen apabila drama terbaharu, Sekali Aku Bahagia bersiaran sepanjang Ramadan.

Iklan

Naskhah tersebut bakal menyaksikan gandingan beliau bersama Nabila Huda, Azhan Rani dan Keith Foo yang turut dijangka akan menarik perhatian ramai.

“Watak kali ini agak lain sedikit, dan mungkin juga ada kejutan buat penonton. Saya sudah cuba dengan sebaiknya untuk pelbagaikan karakter dan mudah-mudahan penampilan kali ni dapat menambat hati ramai,” jelasnya.

(FOTO: TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.