Lan terkejut disapa Rody, kembali berbaik selepas 4 tahun tidak bertegur

Lan solo
Lan solo
A
A
A

SELEPAS empat tahun tidak bertegur sapa, penyanyi Lan Solo meluahkan rasa syukur apabila hubungannya dengan gitaris kumpulan Kristal, Rody kembali jernih.

Menurut Lan yang juga merupakan bekas vokalis Kristal itu, mereka kebetulan bertemu ketika masing-masing terlibat dalam program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) baru-baru ini.

“Ketika itu saya baru sahaja selesai menunaikan solat di surau dan kemudiannya disapa Rody yang kebetulan berada di tempat sama. Saya sangat respek, bila Rody memulakan langkah itu selepas empat tahun kami tidak bertegur.

“Kalau ikutkan sejak duu pun saya sentiasa mengharapkan kami kembali berbaik kerana persahabatan kami sudah lama terjalin. Ibu bapa dia sudah dianggap seperti ibu bapa saya sendiri dan begitu juga dengan dia.

“Dulu setiap kali orang tanya, bila saya dan Rody nak berbaik, saya selalu jawab biarlah masa menentukan. Tidak sangka pula kami kembali bertemu empat mata ketika sama-sama menunaikan solat di surau tersebut dan kembali berbaik,” ujar Lan ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya, 5 Kaki 4 Inci pada Rabu lalu.

Ditanya adakah dia akan kembali bersama Kristal selepas ini, Lan, 36, berkata, dia menghormati kumpulan itu yang sudah mempunyai vokalis baharu dan dia sendiri juga bersama Kristal X.

“Saya sudah ada Kristal X dan Rody serta Kristal pula mempunyai vokalis baharu mereka. Jadi tak patutlah nak kacau, sebaliknya kami saling menghormati antara sesama.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menolak sebarang kerjasama bersama mereka jika ada yang bersesuaian pada masa akan datang.

“Semua yang berlaku ini banyak mematangkan saya dan tidak perlu lagi biarkan perkara-perkara negatif terus berlegar dalam kehidupan kita,” katanya yang tidak mahu bermusuh dengan sesiapa.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca