Lancar single debut, Venus tunggu reaksi peminat
MAHU berkongsi bakat dan karya mereka dalam khalayak lebih besar, lima anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Venus memberanikan diri untuk tampil dengan single pertama mereka, Sakitnya Hati.
Kumpulan yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 2019 itu dianggotai oleh Puteri sebagai vokalis, Ayoy (bass), Lan (gitar utama), Adi (gitar kedua dan keyboard) serta Hafis (dram).
Meskipun baru sahaja ditubuhkan, setiap anggota Venus sebenarnya mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik. Malah salah seorang anggotanya, Adi sebelum ini dikenali sebagai vokalis kumpulan 6ixthsense.
Mengulas tentang single debut Venus itu, Adi berkata, karya ciptaan Joe Slash dan lirik tulisan oleh Venus itu merupakan sebuah lagu yang cukup sinonim dengan jiwa remaja.
“Kami memilih lagu ini sebagai lagu pertama kerana percaya ia relevan dengan arus industri muzik di negara kita buat masa sekarang.
“Jika dibandingkan dengan lagu-lagu masa kini, kelainan single ini terletak pada keindahan melodi dan garapan lirik yang matang.
“Tidak hanya itu, kami turut menekankan aspek vokal secara total. Malah, kalau didengar semula, susunan muzik untuk lagu ini lebih moden,” jelas Adi.
Menurutnya lagi, single Sakitnya Hati boleh diterjemahkan sebagai seratus peratus berkait ruang lingkup kehidupan peribadi dan kerjaya seni Venus.
“Kami berharap agar karya-karya Venus akan lebih dekat dengan generasi baharu dan dapat memberi impak positif kepada mereka.
“Dalam masa sama, kami teruja menanti reaksi pendengar dan semoga penampilan sulung ini diterima oleh penggemar muzik tanah air,” katanya.
Berkongsi tentang proses pembikinan single tersebut, kata Venus, ia mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan.
“Pembikinan dan proses di belakang tabir untuk single pertama ini memakan masa selama tiga bulan sebelum ia siap sepenuhnya.
“Kami mahu tampikan karya berkualiti dan tidak mahu tergesa-gesa menyiapkannya.
“Semua anggota Venus merupakan pemuzik sepenuh masa, kecuali Puteri yang merupakan merupakan penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang undang-undang,” ujar Venus.
Biarpun nama Venus belum dikenali dan masih dalam usaha mencari tempat dalam industri, mereka yakin kelainan yang ditampilkan, bakal menarik perhatian pendengar muzik tanah air.
“Harapan kami agar single ini dapat meraih tumpuan peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni kami bersama komposer yang terlibat.
“Kami juga sentiasa bercita-cita tinggi untuk terus menampilkan lagu-lagu berkonsep unik dan moden bagi mewarnai kanvas industri muzik tempatan,” katanya.
(FOTO: Seventeen Eleven Entertainment)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang