Luahan Hati Yana, Yonnyboii

YANA & YONNYBOII
YANA & YONNYBOII
A
A
A

TAMPIL dengan identiti muzik tersendiri sejak awal pembabitan dalam industri muzik tanah air, penyanyi berbakat besar, Yana, terus melangkah ke depan.

Yana yang dahulunya menggunakan nama pentas Shalma Eliana, 22, sentiasa yakin dengan percaturan dibuat terutama dari segi lagu-lagu yang dilancarkan.

Selepas tampil dengan lagu berbahasa Inggeris, I Need U yang dilancarkan pada Mac lalu, Yana kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi single berjudul Hati, berkolaborasi dengan Yonnyboii.

Menurutnya, lagu tersebut bercerita tentang bagaimana untuk menghargai setiap saat yang dilalui bersama seseorang meski pernah disakiti.

“Mesej yang diketengahkan dalam lagu ini adalah berkompromi untuk seseorang yang sudah menyakiti, tetapi dalam masa sama tahu mereka banyak memikirkan anda.

“Walaupun disakiti, anda berkompromi untuk keamanan diri sendiri dan sentiasa ada untuk mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Yana berkata, single bergenre R&B dan reggaeton itu merupakan hasil ciptaan bersama rapper dan komposer muda, Yonnyboii serta lirik oleh Yonnyboii dan Siqma.

“Yonnyboii mula menulis lagu ini kemudian saya memutuskan untuk menulis bahagian saya sendiri kerana dapat mengaitkannya dengan lebih lanjut.

“Proses penulisan lagu lancar kerana kami duduk bersama dan melihat apa yang paling sesuai.

“Gabungan idea dalam menghasilkan lagu Hati memberikan satu lagi sentuhan segar agar hasilnya bukan saja sedap didengar, tapi juga mampu menarik perhatian pencinta muzik tempatan dan peminat,” katanya.

Penyanyi yang pernah tampil dengan single Janji Terindah, Aroma dan Rambang itu juga menyifatkan bekerjasama dengan Yonnyboii sebagai pengalaman berharga buatnya.

“Proses rakaman lagu ini agak menarik. Saya masih ingat ketika memasuki rumahnya dan dia terus cakap 'Yana record'. Bahagian korus itu adalah satu yang mengujakan.

“Yonnyboii sentiasa menjadi sahabat saya dan keserasian kami ada dalam bekerjasama. Dia membimbing saya dan kami sentiasa sepakat bersama,” katanya.

Cabaran

Dalam pada itu, Yana bersyukur proses menghasilkan single baharu itu berjalan lancar meskipun berdepan masalah kesihatan.

“Semuanya berjalan lancar tetapi kami menghadapi masalah sepanjang perjalanan nak menghasilkan lagu ini. Ia berkaitan kesihatan dan lain-lain, tetapi alhamdulillah kami berjaya menyiapkannya,” jelasnya.

Sementara itu, Yonnyboii menyifatkan bekerjasama dengan Yana menerusi lagu terbitan Universal Music Malaysia itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

“Yana sudah lama berkawan dengan saya. Jadi, pembikinan lagu ni agak santai dan semestinya seronok.

“Bahagian korus yang dinyanyikan adalah daripada first take nyanyiannya. Yana sampai sahaja di pintu studio, kami terus terjah untuk rakam lirik yang sudah ditulis.

“Cabaran yang kami hadapi ketika rakaman hanyalah ketika penukaran verse, vokal dan flow kerana lagu ini sebenarnya sudah siap tetapi disusun semula untuk menjadi satu arrangement baharu,” jelas Yonnyboii.

Single Hati kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala lirik videonya pula boleh ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia.

(FOTO: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA)

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca