PENAMPILAN Elly Mazlein selaku pengacara baharu program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bersama Nabil Ahmad terus mencuri perhatian ramai dan bualan hangat saban minggu sehingga trending di media sosial.

Aksi dan gelagat spontan Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 42, di pentas berjaya memeriahkan program tersebut setelah ketiadaan pengacara asal, Jihan Muse yang kini sedang cuti berpantang selepas melahirkan anak kedua.

“Alhamdulillah rezeki anak-anak. Saya sebenarnya tidak sangka penampilan sebagai pengacara GV9 diterima baik penonton.

“Bagi saya semua ini berlaku atas sokongan para peminat yang sentiasa memberi semangat.

“Apabila sesuatu yang kita lakukan itu mendapat respons yang positif, pastinya akan membuatkan kita rasa mahu buat lebih baik selepas itu. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.

Meskipun begitu, ibu kepada dua anak yang turut mesra disapa dengan nama gelaran Kak Lina Pom Pom itu mengakui di sebalik ramai yang menyokong, dia sedar ada yang kurang senang dengan apa yang ditampilkan sepanjang mengacarakan program terbabit yang sudah memasuki minggu kedua.

“Saya sudah agak lama dalam industri dan sedia maklum situasi di mana akan ada orang yang suka dan tidak suka pada kita.

“Sejujurnya saya adalah seorang yang sangat terbuka menerima teguran dan kritikan. Setiap orang ada hak untuk suka dan tidak suka terhadap sesuatu.

Aksi Elly ketika mengacarakan GV9 bersama Nabil Ahmad dan Danial Zaini.

Akur bukan hanya pujian yang diterima, tetapi ada juga segelintir penonton yang menyifatkan gaya pengacaraan Elly agak berlebihan dan gedik di pentas.

“Jadi saya perlu memainkan peranan dengan menilai adakah lebih banyak perkara positif atau negatif yang diperkatakan. Alhamdulillah setakat ini ramai memberi maklum balas positif, maka saya ambil yang itu.

Iklan

“Bagi mereka yang bersikap negatif, saya suka mengambil pendekatan untuk memberi peluang kepada mereka. Mana tahu suatu hari nanti, mereka akan sukakan saya,” kata pengacara program Muzikal Lawak Superstar 3 yang baru sahaja melabuhkan tirai minggu lalu.

Sebak

Dalam pada itu, bintang drama Kampung People itu tidak dapat menahan sebak dalam satu temubual bersama penyampai radio Suria FM pada Rabu ketika membicarakan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan peminat kepadanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir tentang penerimaan baik orang ramai terhadap saya sekarang. Memang saya cukup terharu bila mengenangkan semua itu.

Iklan

“Saya juga sangat sedih dan sebak setiap kali teringatkan peminat yang setia menyokong saya. Adanya saya di sini hari ini adalah disebabkan maklum balas yang baik daripada mereka.

“Bila nama sentiasa disebut-sebut, ia sebenarnya secara tidak langsung membantu perjalanan kerjaya seni saya dari semasa ke semasa,” katanya.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)