Meer Nash rakam semula lagu Seribu Tahun
USIA lagu berhantu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain sudah menjangkau sedekad.
Bagaimanapun lagu tersebut boleh dianggap malar segar dan diterima baik sehingga ke hari ini. Buktinya, lagu Seribu Tahun telah sohor kini di aplikasi TikTok.
Lantas TikTok bersama Universal Music Malaysia tampil dengan usaha terus mengembalikan kegemilangan karya berkenaan dengan memilih Meer Nash untuk menyanyikan semula lagu itu.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keputusan berkenaan mengujakan Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul.
“Apabila pihak TikTok berkata lagu itu sedang ‘trending’ semula dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculan semula, saya sendiri terkesima.
“Apatah lagi saya sendiri secara peribadi meminati lagu berkenaan. Saya percaya bukan diri ini saja yang meminatinya, malah ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama,” katanya.
Biarpun segala perbincangan dan proses rakaman dilakukan secara maya, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat jejaka berusia 26 tahun itu.
“Saya berjaya lunaskan proses rakaman sekitar tiga hingga empat jam. Saya tak nafikan lagu itu sangat meruntun jiwa. Perkara paling mencabar untuk dilakukan ketika merakamkan lagu ini ialah di bahagian harmoni.
“Nak dijadikan cerita, saya agak emosi ketika menyanyikan lagu ini disebabkan saya baru saja putus cinta.
“Jadi secara tidak langsung, situasi itu memudahkan saya menyelami bait lirik lagu berkenaan,” jelasnya.
Lagu itu boleh didengarkan di kesemua pelantar pentsriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 13 Ogos. Manakala, lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Meer Nash.
Sempat ditanya apakah dia mengenai penyanyi asal lagu berkenaan, Meer mengakui pernah berjumpa Imran beberapa tahun lalu.
“Saya tidak mengenalinya secara rapat. Tapi pernah berjumpa dalam acara hiburan ketika lagu itu rancak dipromosikannya.
“Bayangkan kali pertama jumpa, saya ini bukanlah sesiapapun ketika itu, tapi Imran banyak berkongsi ilmu dan nasihat berkaitan seni. Sejak itu saya terus meminatinya,” ujarnya.
Sibuk promosi Saranghae
Dalam perkembangan lain, Meer masih rancak mempromosikan lagu Saranghae yang diciptanya sendiri.
“Lagu itu dilancarkan sekitar lebih sebulan lalu. Buat masa sekarang, saya masih terus mempromosikannya.
“Dalam masa sama, saya juga cuba mencuri ruang mencipta lagu baru untuk single seterusnya. Cuma biasalah lama terperuk dalam rumah, ilham itu tenggelam timbul. Otak pun tepu, kreativiti berkurangan.
“Pastinya saya sendiri tak sabar untuk menantikan reaksi peminat terhadap rendisi lagu Seribu Tahun,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang