DALAM diam, pelakon Adam Lee dan Sweet Qismina rupanya menghitung hari bersejarah mereka yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

Bagaimanapun akui Adam, dia agak penat kerana menguruskan sendiri persiapan perkahwinan bersama Sweet tanpa bantuan perancang perkahwinan.

“Pastinya saya teruja dan tidak sabar untuk menanti saat tersebut tetapi boleh dikatakan kami berdua sangat penat.

“Kami buat keputusan untuk uruskan sendiri persiapan perkahwinan kami. Cuma cabarannya kami agak penat sebab masih perlu bekerja dan dalam masa sama uruskan banyak benda. Maklumlah, waktu bekerja kami tidak sama seperti orang biasa.

“Tetapi dalam kesibukan itu, persiapan sudah 75 peratus selesai,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media drama terbaharu lakonannya, Adakah Engkau Menungguku yang diadakan secara maya.

Ditanya cabaran menuju ke hari bahagia, Adam atau nama penuhnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 27, mengakui hubungannya dengan Sweet tidak terlepas melalui pelbagai dugaan.

Iklan

“Bagi saya, jika bercakap tentang cabaran, semua pasangan pasti akan melaluinya.

“Itu semua perkara normal tetapi kita perlu lihat cara dan bagaimana untuk menanganinya,” ujarnya yang enggan berkongsi dugaan dilaluinya.

Iklan

Terdahulu, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 24, memberi bayangan bakal mendirikan rumah tangga selepas setahun bertunang.

Tarikh perkahwinan pasangan tersebut dijangka pada 24 Oktober memandangkan mereka bertunang pada tarikh sama tahun lalu.