Misi murni Putra Amaris sepanjang Ramadan ini

A
A
A

BIARPUN Malaysia bakal memasuki fasa endemik tidak lama lagi, namun masih ramai yang terkesan dengan penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Menyedari perkara itu, pelakon dan usahawan, Putra Amaris bersama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur (Dapur Pasak) tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas termasuk golongan asnaf.

Menurut Amaris atau sebelum ini dikenali sebagai Amran Ismail, 36, pihaknya menyasarkan untuk membantu 1,000 buah keluarga menerusi program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan.

“Program ini dianjurkan khusus kepada golongan sasar dengan harapan­ dapat meringankan beban dan dalam masa sama membantu mereka bangkit daripada kejatuhan.

“Sasaran kami adalah untuk membantu golongan serba kekurangan termasuk mereka yang terjejas akibat Covid-19, golongan kurang upaya, anak-anak yatim, gelandangan dan selebriti.

“Misi utama kami adalah Penuhkan Peti Ais, di mana kami akan membeli barang keperluan asas dengan anggaran kos sekitar RM200 sehingga RM500.

“Kami sendiri akan pergi ke rumah keluarga yang terpilih untuk menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan ready to cook dan pelbagai lagi.

“Selain itu, kami akan memberi beras, telur dan barangan keperluan lain,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis sidang media di Hotel Eastin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PUTRA AMARISAmaris bersama contoh barangan yang akan dimuatkan dalam program Penuhkan Peti Ais kelak.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Amaris bersama Dapur Pasak turut merancang untuk membina sebuah rumah bagi menempatkan sebuah keluarga asnaf terpilih.

Katanya, kos rumah yang dianggarkan bernilai RM80,000 hingga RM100,000 dijangka akan disiapkan beberapa hari sebelum Syawal menjelma.

“Saya memang sudah lama berniat untuk membina rumah buat golongan asnaf tetapi kalau buat sendiri memang saya tak mampu. Maklumlah, kita sendiri pun bukan orang kaya.

“Bagaimanapun ada rakan saya yang turut mempunyai misi sama dan Insya-ALLAH kami akan realisasikan impian itu. Setakat ini mengikut perancangan, projek Rumah Baru Asnaf itu akan bermula pada 1 Ramadan dan dijangka siap sebelum 1 Syawal.

“Walaupun mustahil untuk siapkan sebuah rumah dalam tempoh kurang sebulan, tetapi saya harap impian tersebut akan terlaksana.

“Secara tidak langsung, dapatlah keluarga tersebut meraikan hari lebaran di rumah baharu,” ujarnya yang memaklumkan keluarga terpilih itu akan tinggal di Hotel Eastin secara percuma sepanjang proses pembinaan dijalankan.

Alu-alukan kerjasama

Tambah Amaris, pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk jutawan yang mahu menghulurkan sumbangan sama ada dari segi wang ringgit atau barang keperluan dalam program ini.

“Alhamdulillah setakat ini kami menerima banyak tajaan dan ramai yang hubungi saya untuk memberikan sumbangan.

“Bagaimanapun saya mengalu-alukan jika ada jutawan, syarikat korporat, badan bukan kerajaan atau individu berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan supaya kita akan dapat membantu lebih ramai lagi,” katanya yang turut menganjurkan majlis sahur dan berbuka puasa bersama anak-anak tahfiz, sumbangan bakul makanan dan program agihan bubur lambuk.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca