PELAKON Remy Ishak mengakui Aidilfitri kali ini cukup bermakna buat dirinya dan isteri yang bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Tidak dapat menyembunyikan rasa teruja, Remy, 41, mengakui lebih banyak melakukan persiapan untuk menyambut kelahiran anak berbanding raya.

“Ini merupakan tahun kedua saya beraya sebagai suami, tetapi kali ini kegembiraan berganda apabila tidak lama lagi saya dan isteri bakal bergelar ayah serta ibu. Jadi kami lebih teruja membuat persiapan untuk kelahiran anak.

“Persiapan raya tahun ini agak sederhana, cuma kami lebihkan untuk baju raya sahaja. Sebelum ini saya jarang dapat cuti lama, jadi raya sekejap saja dan hanya tunggu tetamu datang rumah.

“Kali ini sedikit berbeza bila saya ajak isteri untuk lebih banyak keluar beraya dan menziarah sanak saudara serta kenalan, selain memenuhi undangan majis rumah terbuka. Jadi baju raya pun kena sediakan lebih sikitlah daripada biasa,” ujarnya.

Remy bawa isteri beraya di Melaka.

 

Meraikan 1 Syawal bersama keluarganya di Melaka dan diikuti keluarga mentua di Pahang, bintang filem Harum Malam itu mengakui rayanya setelah berkeluarga dan ketika bujang sangat berbeza.

“Waktu bujang, kita hanya fokus pada keluarga sendiri dan persiapan raya juga serba ringkas ikut kemahuan diri. Bila sudah kahwin, banyak perkara kena ambil kira. Malah persiapan raya juga kena bincang sama-sama.

Iklan

“Begitu juga dengan sambutan raya yang bukan hanya melibatkan keluarga di Melaka sahaja, tetapi juga saudara-mara isteri di Pahang, selain orang-orang di sana.

“Bagaimanapun tidak pernah timbul isu balik beraya di mana dahulu kerana isteri seorang yang sangat memahami dan tahu tanggungjaab saya kepada keluarga. Terima kasih sayang,” kata Remy yang bercuti selama seminggu sebelum kembali ke lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi