WARNER Bros Pictures sekali lagi tampil dengan naskhah animasi menghiburkan berjudul Mummies yang kini ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 19 Januari.

Tidak sekadar karya animasi biasa, Mummies yang merupakan naskhah pertama arahan pengarah berbakat dari Sepanyol, Juan Jesus Garcia Galocha mengambil latar sejarah dan budaya Mesir kuno untuk diketengahkan.

Filem ini menceritakan tentang kehidupan di kota mumia berusia lebih 3,000 tahun, sebuah dunia rahsia yang terletak jauh di bawah tanah dan tersembunyi dari dunia.

Thut, bekas pelumba kereta kuda terkenal dipaksa berkahwin dengan Puteri Nefer yang merupakan anak perempuan Raja Firaun dalam masa tujuh hari.Walaupun masing-masing tidak bersetuju, tetapi perintah itu tidak boleh diingkari.

Raja Firaun menyerahkan sebentuk cincin kahwin kuno kepada Thut dan memintanya untuk menyimpan pusaka itu sehingga hari pernikahan tiba. Namun seorang arkeologi bernama Lord Carnaby dari dunia manusia mencuri cincin tersebut untuk dijadikan pameran di kota London.

Bermulalah pengembaraan Thut dan Puteri Nefer yang turut disertainya, adik lelakinya Sekhem dan binatang peliharaan mereka untuk mendapatkan kembali cincin tersebut yang sudah di bawa ke dunia manusia.

Teliti

Biarpun menceritakan tentang mumia atau mayat hidup, filem ini sedikit tidak menampakkan sisi seramnya, tetapi cukup indah dengan pelbagai tarikan yang mampu menarik minat penonton cilik mengikuti cerita sehingga ke penghujung.

Meski ia sebuah naskhah animasi yang mensasarkan penonton dalam kalangan kanak-kanak, namun penceritaannya dilakukan dengan cukup teliti melibatkan sejarah dan budaya Mesir Kuno.

Malah difahamkan pengarah dan penulisnya turut membuat kajian dan persediaan dalam tempoh masa tertentu di Mesir untuk memastikan apa yang dipaparkan tidak bercanggah sejarah dan memberi gambaran yang betul kepada penonton.

Gabungan visual kota peradaban Mesir Kuno dan kota London yang moden berjaya diperlihat dengan cukup indah, sekali gus mengisi peranan dalam penceritaannya.

Iklan

Lebih menarik, filem ini membawa banyak mesej penting yang disampaikan dalam pendekatan santai kepada penonton. Antaranya untuk mengatasi setiap ketakutan dan apa sahaja masalah yang datang, perlu dihadapi dengan berani.

Walaupun pengembaraannya berpunca daripada rancangan perkahwinan Thut dan Puteri Nefer, tetapi kisah cinta bukan menjadi fokus utama. Sebaliknya penonton dibawa mengembara dan mempelajari tentang tradisi, sejarah, impian, kemanusiaan dan lain-lain yang semestinya mampu memberi pengaruh positif.

Secara keseluruahnnya, Mummies sebuah naskhah yang berbaloi untuk ditonton bersama seisi keluarga.

Iklan

Mummies
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Animasi
Durasi: 1 jam 29 minit
Pengarah: Juan Jesus Garcia Galocha
Pelakon: Sean Bean, Eleanor Tomlinson, Hugh Bonneville, Celia Imrie, Joe Thomas, Dan Starkey
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 19 Januari 2023

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.