PENYANYI rock terkenal Muss mengakui pengalaman ditimba sepanjang menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) banyak memberi pendedahan baharu dalam kerjaya seninya.

Sepanjang 10 minggu mengharungi cabaran sehingga dinobatkan sebagai naib juara GV7 pada Ahad lalu, Muss atau nama lengkapnya Mustaffa Din, 52, berkata, dia tidak menyangka mampu menyampaikan genre lagu, selain irama rock yang sebati dalam diri.

“Walaupun saya berpengalaman luas dalam persembahan pentas sebelum ini, penglibatan dalam GV7 memberikan pendedahan dan impak berbeza.

“Saya sendiri tak sangka mampu melakukan perkara-perkara yang saya anggap mustahil sebelum ini sehinggalah menyertai GV7.

“Menyanyi pelbagai genre lagu yang saya tak pernah cuba sebelum ini kerana terlalu selesa dengan muzik rock yang menjadi identiti.

“Paling penting segala ilmu dan pengalaman sepanjang menyertai GV7, amat saya hargai,” ujarnya.

Menerusi pengalaman tersebut, bekas vokalis kumpulan May itu turut mengalu-alukan rakan artis seangkatannya untuk menyertai GV pada musim akan datang, sekiranya mereka mahu mencuba sesuatu yang baharu.

“Kalau mereka nak sahut cabaran dalam nyanyian dan mencuba sesuatu yang berbeza, sertailah GV pada musim akan datang.

“Inilah peluang penyanyi-penyanyi lama untuk explore benda baharu dan tidak hanya terikat dengan satu arah muzik yang menjadi pegangan mereka selama ini.

“Mencuba benda baharu, bukan bererti kita membuang identiti sedia ada, tetapi lebih kepada menyahut cabaran dan menguji kemampuan diri dengan sesuatu yang berbeza setelah berpuluh tahun melakukan benda sama,” tegasnya yang kini masih tetap berpaksi kepada muzik rock.

Dalam pada itu, Muss turut mendedikasikan kejayaan dalam GV7, kepada isterinya, Suraya Bahari, 47, yang banyak berkorban dan menguruskan kerjaya seninya selama ini.

“Umur saya sudah mencecah 52 tahun dan keadaan itu tentunya tidak mengizinkan saya serancak dulu untuk memikirkan semua perkara.

“Isteri saya dalam masa turut bertindak sebagai pengurus dan banyak membantu saya dalam apa juga perkara.

Iklan

“Tanpa penglibatannya, mungkin saya tak mampu buat apa yang ditampilkan dalam GV7 itu,” katanya.

Berkongsi tentang perancangan seninya selepas ini, kata Muss, dia kini lebih terbuka untuk mencuba apa sahaja peluang baharu yang bakal hadir.

Biarpun masih berpegang kuat pada muzik rock, Muss tidak menolak untuk menerima tawaran berbeza, sekali gus menggunakan ilmu dan pengalaman baharunya dalam GV7.

“Sebelum masuk GV7, saya hanya ada satu direction sahaja iaitu muzik rock dan orang hanya kenali saya sebagai rockers.

Iklan

“Selepas tamat GV, saya yakin pandangan dan penilaian orang terhadap kemampuan nyanyian saya sudah lain.

“Jadi jika ada selepas ini yang nak beri tawaran buat persembahan dalam konsep muzik berbeza, pastinya saya bersikap terbuka dan lebih yakin untuk mencuba,” katanya.

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)