INSIDEN penyanyi dan pelakon Nabila Razali terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) sememangnya meninggalkan impak besar.

Bukan hanya namanya diperkatakan untuk tempoh hampir seminggu dan membayangi kejuaraan lagu Gila, malah ramai penyanyi  turut memberi ulasan.

Tidak kurang juga ramai yang meminta Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 29, melupakan bidang nyanyian dan memberi fokus kepada lakonan.

Bagaimanapun bagi tuan empunya badan, insiden itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya meneruskan karier sebagai penyanyi.

“Saya tak pernah jangka insiden itu akan terjadi (terkucil vokal). Tetapi hidup perlu diteruskan, insiden itu bukan pengakhiran.

“Minat terhadap bidang nyanyian memang cukup mendalam. Tak ada apa yang boleh menghentikan saya.

“Saya tak akan tarik diri hanya kerana desakan dan kutukan daripada netizen. Saya buat apa saya suka kerana diri sendiri dan keluarga,” ujarnya ketika ditemui pada kek lapis Sarawak premium jenama Big Mouth X Nabila Razali di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.

Nabila berkata, kesilapan yang dibuat ketika AJL35 bukan disengajakan dan dia akan berusaha untuk memperbaiki kekurangan serta kelemahan.

Mengakui kecewa dengan insiden yang berlaku, Nabila tidak menafikan terlalu gugup ketika membuat persembahan walaupun sudah menjalani latihan mencukupi bersama guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

“Saya tidak tertekan, tetapi gugup. Rasa gementar sebab dah lama tak buat persembahan semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), lepas itu terus buat persembahan di pentas besar.

“Walaupun sudah mengikuti latihan mencukupi, insiden itu tetap berlaku.

“Bila ia terjadi, tentulah saya kecewa. Saya ambil masa sehari untuk lepaskan apa saya rasa dan bangun semula teruskan perjuangan serta perbaiki kelemahan,” jelasnya.

Nabila berkata, dia juga merasa serba salah kerana insiden terkucil di pentas AJL35 diperkatakan lebih daripada kisah kejuaraan lagu Gila.

“Sejujurnya saya rasa serba salah, malam itu sepatutnya untuk pemenang, tetapi cerita saya pula yang berpanjangan.

“Ia bukan apa yang saya mahukan, sebab itu saya ambil keputusan mendiamkan diri buat seketika,” ujarnya.

Tidak serik untuk membawakan lagu bergenre balada, Nabila berkata, dia akan mencari lagu lebih sesuai dengan kemampuan vokal dan akan terus tampil dengan karya berkualiti.

“Takkanlah bila dapat lagu sedap, saya nak tolak kerana vokal. Saya akan ambil dan jadikan sebagai cabaran.

“Kalau saya tak buat persembahan, orang mengata. Bila buat persembahan pun orang mengata. Ada yang kata saya patut turunkan key lagu. Bila turunkan, nanti orang sindir kata tak sampai, bila ikut key asal, kena juga. Saya pun jadi keliru.

Iklan

“Apa boleh saya katakan, segala insiden yang berlaku membuatkan saya mengenali mana kawan dan lawan.

“Saya akan belajar daripada kesilapan dan memperbaiki kelemahan pada masa akan datang,” katanya.

Luaskan sayap

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Nabila berkata, dia kini memperlahankan seketika bidang lakonan untuk memberi tumpuan terhadap perniagaan.

Nabila meluaskan sayap menerusi kerjasama dengan BigMouth bagi memasarkan empat kek lapis premium.

Selepas tampil dengan produk berasaskan makanan, Ayo! Fried Chicken, Nabila kini menjalinkan kerjasama dengan Big Mouth untuk memasarkan kek lapis premium dari Sarawak.

Iklan

“Penglibatan saya dalam bidang perniagaan bermula ketika PKP di mana waktu itu banyak program dibatalkan.

“Dari situ terbit idea untuk berniaga. Alhamdulillah saya lihat peluang perniagaan ini makin cerah.

“Mengapa saya pilih kek lapis? Jawapannya kerana kualiti kek itu sendiri dan saya ingin mengetengahkan antara makanan terkenal Sarawak itu ke Semenanjung Malaysia.

“Sebagai permulaan, kami akan jual 20,000 biji dan setakat ini sebelum pelancaran, 8,000 biji sudah terjual,” ujarnya.

Set kek lapis Sarawak premium ini didatangkan dengan empat perisa beserta dengan nama yang unik iaitu Pandan Cheese– Jealous, Blueberry–Cumi-Cumi , Cadbury–Vroom dan Masam Manis–Second Chance.