Naqiu kejar impian jadi bintang serba boleh

Untitled design (22)
Untitled design (22)
A
A
A

SIAPA sangka, penyertaan ­dalam program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) tahun lalu telah memberi Naqiu peluang ­kedua untuk kembali dikenali di pentas hiburan.

Tidak sebagai penyanyi semata-mata, Naqiu kini semakin menyerlah dalam dunia lakonan dan penciptaan lagu.

Bukan mahu bersikap tamak, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib mengakui rezekinya semakin bertambah selepas penyertaannya dalam GV6.

“Saya tak nafikan kerjaya seni saya sekarang lebih baik berbanding dulu. Ibarat mendapat peluang kedua, sebab itulah saya manfaatkan tawaran yang datang.

“Kebetulan tawaran berlakon juga datang seiring selepas keluar GV6. Memandangkan undangan nyanyian hanya pada Sabtu dan Ahad, jadi saya rasa tak salah untuk mencuba. Lebih-lebih lagi saya mendapat kerjasama baik daripada pihak produksi yang memberi kelonggaran buat saya menjalani penggambaran setiap Isnin hingga Jumaat sahaja.

“Bagaimanapun menyanyi masih lagi menjadi keutamaan dan dalam masa sama, saya juga mahu dikenali sebagai komposer. Alhamdulillah saya baru menyiapkan single untuk abang saya, Sham Visa dan ada juga beberapa lagu lain untuk penyanyi lain,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkininya, ­Naqiu berkata, dia kini sibuk mempromosikan single keduanya, Sinar Kedua yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

Mengakui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya seninya, bintang berusia 34 tahun itu menganggap ada hikmah yang baik di sebaliknya.

“Saya percaya semua terkesan dengan penularan Covid-19 sejak Mac lalu. Malah saya sendiri perlu susun semula jadual dan rangka promosi selepas kerajaan mengumumkan PKP.

“Sebelum ini saya terpaksa buat promosi menerusi media sosial dan ­temubual menerusi panggilan telefon dan sebagainya. Jadi, saya kini kembali sibuk mempromosikan  single saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya perancangannya untuk tampil semula menerusi projek khas bersama kumpulan Boboy, kumpulan yang popular dengan lagu Episod Cinta dan Demi Masa itu memberitahu akan menunaikan janji mereka pada peminat.

“Ikutkan projek khas bersama Boboy itu akan dilaksanakan pertengahan tahun atau sekitar bulan Julai tapi selepas banyak perancangan terpaksa disusun dan ditangguhkan, projek itu akan ditunda ke hujung tahun.

“Perbincangan juga sedang giat dijalankan dan saya memang berharap dapat merealisasikan harapan peminat,” katanya lagi.

KREDIT

FOTO : @neonpixelofficial

PAKAIAN : @ooicouture

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca