KETIADAAN bekas anggota kumpulan K-Clique, Tuju pada majlis pernikahan dan persandingan MK, sememangnya menjadi perhatian ramai.

Mengulas mengenai perkara itu, Noki mengakui terasa hati dengan sikap Tuju atau nama sebenarnya, Mohd Azree Shah Awang Zamree, 27, biarpun ia bukanlah majlis perkahwinannya.

“Saya tak fikir sangat, tapi kalau ikut logik, kalau dia sahabat kami yang berkawan dari dulu sepatutnya dia datang.

“Saya tahu MK ada memberikan jemputan baik hari pernikahan mahu pun majlis resepsi,” kata Noki ketika ditemui pada majlis resepsi MK dan Siti Hajaar yang berlangsung di sebuah hotel di Klang, Selangor pada Sabtu.

Noki

Tambah Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 29, biarpun MK tidak berkata apa-apa mengenai ketiadaan Tuju, namun sebagai rakan karib, dia memahami apa yang dirasai oleh sahabatnya itu.

“MK memang tak kata apa-apa. Tetapi saya faham perasaan ‘brother-brother’ macam mana. Kecewalah, memang kecewa,” jelasnya yang sudah tidak berhubung dengan Tuju sejak enam bulan lalu.

Ditebak punca sebenar pertelingkahan mereka, Noki tidak menafikan mereka mempunyai salah faham yang membuatkan hubungan menjadi rengang.

Iklan

“Apa yang saya boleh katakan, kami memang ada sedikit salah faham dan susah sikit untuk diselesaikan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sebelum ini, penampilan Noki, Kdeaf, Somean, NastyNas dan Gnello segak mengenakan baju Melayu berwarna coklat cair menjadi ‘dulang boys’ atau pembawa dulang semasa majlis pernikahan MK mencuri perhatian netizen.

Iklan

Bagaimanapun, ketiadaan Tuju turut menjadi perhatian kerana umum mengetahui keakraban mereka berlapan yang memperjuangkan K-Clique dari Negeri Di Bawah Bayu sehingga ke ibu kota.

Terdahulu, pada Jumaat lalu, MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27 dan Siti Hajaar sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor.