2021 menyaksikan ramai selebriti memilih untuk menamatkan zaman bujang masing-masing. Sebelum tahun 2021 menutup tirai, Hiburan Sinar berkongsi antara bintang yang ‘off market’ tahun ini.

1 Januari – Ayda Jebat, Nabil Mahir bersatu

Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat membuka tirai tahun 2021 dengan kenangan manis apabila melangsungkan perkahwinan dengan pengacara Nabil Mahir. Pasangan ini juga telah bergelar ibu dan bapa selepas kelahiran anak perempuan, Ana Nayla, pada 21 September lalu.

5 Februari – Perbezaan usia bukan halangan

Perbezaan usia 17 tahun bukan halangan bukan pelakon Intan Ladyana memilih pengacara dan penyanyi, Harris Aliff sebagai suami. Pasangan romantis itu kini sedang menghitung hari menanti kelahiran cahaya mata sulung mereka pada Februari depan.

8 Februari – Perkahwinan rahsia Hannah Delisha

Pelakon, Hannah Delisha, 25, mengejutkan ramai pihak apabila mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dari Singapura, Imam Shah. Namun kontroversi mula timbul apabila ibu Hannah memberi bayangan bahawa perkahwinan itu sudah setahun dibina tanpa restu darinya. Bagaimanapun pelakon itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan yang timbul.

20 Mac – Elizabeth Tan kejutkan ramai

Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, 28, juga mengejutkan ramai pihak apabila gambar perkahwinannya mula tersebar menerusi media sosial. Tidak menafikannya, Elizabeth atau mesra dengan panggilan Lizzy mengakui sudah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Siew Jim Ding.

26 Mac – Syamel dan Ernie Zakri

Selepas tujuh bulan mengikat tali pertunangan, penyanyi Ernie Zakri akhirnya sah bergelar isteri kepada penyanyi, Syamel.

27 Mac – Neelofa akhirnya milik Haris Ismail

Perkahwinan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor menjadi antara majlis yang dinantikan ramai. Dengan sekali lafaz, Neelofa akhirnya sah bergelar isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan PU Riz. Majlis perkahwinan pasangan ini turut menjadi perbualan ramai apabila ramai dilihat melanggar SOP yang ditetapkan untuk sesebuah majlis perkahwinan.

10 April – Haliza Misbun pilih jejaka British

Dengan sekali lafaz, aktres Haliza Misbun, 48, sah bergelar isteri kepada jejaka British, Matthew John Rodgers, 48, selepas empat tahun berkawan.

21 Ogos – Remy Ishak, Elisya Sandha ‘off market’

Selepas melalui perhubungan yang penuh onak ranjau, popular Remy Ishak, 39, selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hatinya, Roszaliza Yusof atau Ezza, 38, dalam satu majlis ringkas di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Selain Remy, adik aktres Fasha Sandha iaitu Elisya Sandha turut memilih tarikh 21.8.21 untuk diijabkabulkan dengan dengan Uzair Haqimy, 25, yang juga merupakan anak sulung, pelakon dan penerbit Sheila Rusly.

3 September – Ariff Bahran tiga bulan simpan rahsia

Tiga bulan menyimpan kejap rahsia peribadinya, penyanyi yang semakin meningkat naik, Ariff Bahran mendedahkan sudah bergelar suami kepada Amirah Syazwani Mohd Ridzuan, 27, pada acara Anugerah Drama Sangat 2021 (ADS2021) yang berlangsung pada 18 Disember.

Ariff, 23, berkata, majlis pernikahan mereka telah diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga kedua pihak di Jabatan Agama Islam Shah Alam pada 3 September.

11 September – Ezlynn pilih penderma hati pertama negara

Penyanyi dan pelakon, Ezlynn mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan penderma hati pertama negara, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, selepas empat tahun kembali solo. Bagaimanapun penyanyi yang mula melonjak menerusi lagu Hi Hi Bye Bye itu hanya berkongsi perkara itu selepas dua minggu bergelar isteri.

19 September – Dari program TV ke ikatan perkahwinan

Selepas dua bulan berkawan rapat, penyanyi Zizi Kirana, 36, dan pelakon Yusuf Bahrin, 29, akhirnya bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Pasangan itu mula berkenalan sekitar awal tahun ini ketika terlibat dengan rakaman program All Together Now Malaysia.

1 Oktober – Sarah Fazny bergelar isteri selepas empat bulan tertangguh

Penyanyi Sarah Fazny, 26, selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Mohd Zahieroun Zahid, 35, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Pasangan itu sepatutnya diijab kabulkan pada 12 Jun lalu, namun tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

21 Oktober – Ayie Floor 88 bergelar suami

Sepuluh bulan mengikat tali pertunangan, vokalis kumpulan Floor 88, Ayie akhirnya menamatkan zaman bujang dengan suri hatinya,Tasha Awie dengan hanya sekali lafaz.

5 November – Kamal, Uqasha sebulan simpan rahsia

Setelah sebulan menyimpan rahsia, pelakon Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29, tampil membuat  pengumuman istimewa sudah sah bergelar suami.

Menerusi pengumuman yang dibuat pada 7 Disember lalu, Kamal dan Uqasha memaklumkan majlis pernikahan tersebut diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri 100 tetamu di sebuah lokasi persendirian di Janda Baik, Pahang.

Iklan

11 November – Zehra Zambri bergelar isteri buat kali kedua

Penyanyi dan pembaca berita, Zehra Zambri, 34, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 38, di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, jam 10.30 pagi, pada Khamis.

Menurut Zehra, ia merupakan perkahwinan kedua buatnya dan suami yang berstatus duda dua anak. Mereka berkenalan setelah bertugas di bawah satu bumbung yang sama di RTM.

15 November – 40 hari menghilang, Caprice tamat zaman bujang

Setelah 40 hari ‘hilang’ daripada radar media sosial, penyanyi rap popular, Caprice mengumumkan khabar gembira apabila selamat bergelar suami kepada Farra Inalis, yang juga seorang ibu tunggal kepada seorang cahaya mata.

19 November – Haqiem Rusli nikahi gadis 19 tahun

Penyanyi popular negara, Haqiem Rusli bergelar suami kepada gadis jelita, Anis Sofea, 19, dengan dua kali lafaz di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

21 November – Keperibadian Firdaus pikat Puteri Aishah

Pelakon jelita, Puteri Aishah,27, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Firdaus, 28. Menurut Puteri Aishah, keperibadian Firdaus telah memikat hatinya.

22 November – Hati Zee Avi milik jejaka Jepun

Iklan

Penyanyi yang popular dengan lagu Kantoi, Zee Avi melangsungkan perkahwinan dengan jejaka Jepun, Kenji Makano dalam satu majlis serba ringkas di sebuah surau di Ampang, Kuala Lumpur

3 Disember – Datuk Nora Ariffin pilih kawan baik Johan Nawawi

Penyanyi Datuk Nora Ariffin, mendedahkan sudah selamat bergelar isteri buat kali kedua dengan Dr. Rushdi Ramli yang juga sahabat arwah Johan Nawawi.

Dua hari selepas berkongsi berita gembira itu, perkahwinan Nora terpalit kontroversi, apabila ada individu mendakwa beliau menjadi punca penceraian suaminya itu. Bagaimanapun Nora dan suami tampil menafikan perkara itu.

12 Disember – Siti Saida pilih kawan lama

Kakak kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Norsaida mengakui sudah selamat melangsungkan perkahwinan buat kali ketiga dengan Mohd Nooraizal Rasip selepas lima bulan menjalinkan hubungan serius.

Menurut Saida, perkahwinan kedua yang dibina pada 2016 hanya bertahan sekitar empat tahun dan dia sudah sah berpisah dengan bekas suami sejak Mac lalu.

21 Disember – Uyaina, Oktovia bergelar isteri

Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad, 29, sah bergelar isteri kepada penyanyi Raja Syahiran, 28, selepas selamat diijabkabulkan dalam majlis pernikahan di Colony by KLCC, pada jam 9.03 pagi.

Turut sama bernikah pada tarikh berkenaan adalah pelakon, Oktovia Manrose yang memilih bekas pemain bola sepak, Mohamad Khairul Efsan Mdisa sebagai suami.