PELAKON remaja, Mohamad Izuan Fitri, 19, dilaporkan tidak sedarkan diri dan sedang mendapat rawatan di Hospital Selayang akibat penyakit tibi.

Menerusi perkongsian yang dilakukan ahli keluarga Izuan, menerusi media sosial, pelakon filem Crossroads: One Two Jaga dan Butak itu dikejarkan ke hospital pada Sabtu lalu selepas diserang sawan.

“Tak terhingga doa berterusan untukmu anakku. Bangunlah anak, berjuang dan terus berjuang melawan keganasan virus jahat dalam tubuhmu. Bangkitlah anakku, bangunlah dari lenamu.

“Mohamad Izuan Fitri, anak ku tersayang bukakan matamu. Senyumlah dengan penuh keindahan,” tulis ibu Izuan, Nor Abdul Rani menerusi hantaran di laman facebook miliknya.

Menerusi ciapan yang tular di laman Twitter juga, difahamkan kuman tibi di dalam badan Izuan kini telah menyerang organ dalaman sehingga ke otak.

“Kuman tibi banyak dalam badan si adik (Izuan), berak berdarah sebab tibi dalam usus, paru-paru sebelah kiri ada tibi buat sarang, kat otak ada tibi.

“Tadi ada buat CT Scan untuk bagi kat pakar otak. Sekarang ni tengah bincang sama ada pembedahan boleh tolong si adik atau tidak,” tulis seorang individu bernama Adik Ainn.

Izuan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Selayang sejak Sabtu.

Dalam pada itu, abang kembar Izuan, Mohamad Izuan Fikri, sebagaimana yang dilaporkan media, memohon orang ramai agar mendoakan adiknya kembali sembuh.

“Saya mohon pada semua orang untuk sama-sama mendoakan adik saya supaya dia sedar semula dan kembali sihat. Sekarang, dia tidur saja tapi jika disentuh masih ada tindak balas dan pergerakan.

“Doktor juga akan membuat pemeriksaan lanjut ke atas adik saya pada bahagian otaknya untuk memastikan kaedah rawatan terbaik dan sesuai termasuk melakukan pembedahan,” katanya.

Situasi yang menimpa Izuan turut mendapat perhatian ramai rakan-rakan artis dan penggiat seni yang turut berkongsi perkhabaran duka itu di laman media sosial masing-masing.

Iklan

Antaranya, pelakon dan pengarah Sabri Yunus yang sebelum ini pernah beberapa kali bekerja sama dengan Izuan.

“Izuan Fitri, pelakon remaja yang berbakat besar. Dia Butak yang degil dan berani. Seorang yang nakal dan budiman.

“Dikhabarkan berita duka bahawa Izuan kini sedang berjuang dengan hidup di hospital Selayang. Mari berdoa untuk adik ini. Dia berjuang melawan kuman tibi yang bersarang hingga pada otaknya,” tulis Sabri menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.

Izuan yang mula berlakon ketika usianya masih kanak-kanak itu pernah meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik (Anugerah Seri Angkasa 2016).

Iklan

Selain Crossroads: One Two Jaga dan Butak, Izuan turut menbintangi telefilem Penyabong, Kapur Kuning Buat Puteh, Kerana Syurgamu, Anak-Anak Tamar, Nasiya dan banyak lagi.

 

SUMBER & FOTO: Facebook/Twitter