PELAKON dan pelawak veteran Rama meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Rabu.

Rama atau nama penuhnya Ramasundran Rengan menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun, sekitar jam 1.30 pagi tadi.

Berita tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah menerusi satu kenyataan media.

Dalam kenyataan tersebut, isteri mendiang, Kamala, berkata, pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom Spanar Jaya itu di bawa ke hospital tengah malam tadi kerana mengalami bengkak kaki.

“Dia dibawa ke hospital pada jam lebih kurang jam 12 malam akibat mengalami bengkak di kaki.

“Namun sejurus menerima rawatan, dia mengalami sesak nafas dan proses CPR dilakukan.

Iklan

“Bagaimanapun disahkan meninggal dunia lebih kurang sejam selepas berada di HKL,” ujarnya.

Selain aktif berlakon di kaca TV, Rama yang mempunyai peminat pelbagai bangsa itu turut aktif berlakon pentas menerusi beberapa pementasan teater bangsawan.

Iklan

Tidak hanya itu, mendiang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Teater Malaysia dan Penolong Setiausaha Yayasan Artis Veteran Malaysia. Selain itu, mendiang turut aktif bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Difahamkan jenazah jenazah mendiang kini berada di HKL, sementara menunggu post mortem pada jam 2 petang dan dijangka akan dikebumikan esok.