PENAMPILAN bertudung Nelydia Senrose sekembalinya daripada mengerjakan umrah kali ketiga Disember tahun lalu dan diikuti kembara percutian ke negara Timur Tengah selepas itu mencuri perhatian ramai.

Lantas imej dipamerkan itu termasuk perkongsian di Instagram (IG) mengundang suka di kalangan peminat dan peminatnya.

Tak kurang yang terus mendoakan isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid ini terus istiqamah.

“Penghijrahan ini saya mahu jalani selangkah demi selangkah tapi pasti. Saya memang ke arah itu. Saya cuma tak berani nak cakap lebih. Saya tak mahu terlalu drastik seperti melangkau urutan abjad A hingga terus ke Z.

“Budak belajar berenang pun tak dicampak terus ke tempat yang dalam bimbang lemas. Sama juga dengan saya.

“Saya masih bertatih, dalam proses belajar, mencuba, mencari dan mengenal lebih soal diri serta mendalami agama Islam. Kita pun nak sambut Ramadan, jadi ia juga satu cara menghormati bulan itu,” katanya.

NELYDIA
Nelydia berharap dapat kekal istiqamah berhijab.

Pemilik nama penuh Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu juga akur sebagai insan yang sentiasa diuji, terbit kebimbangan hatinya sebagai manusia yang mudah rapuh dan berbolak-balik.

“Saya mengharapkan pengakhiran yang baik dalam hidup ini. Jujur takut juga andai tersilap percaturan, hati boleh berubah.

“Namun saya tidak bermaksud menidakkan apa yang salah tetap salah. Hati kita Tuhan yang pegang dan bila bila masa boleh tersasar. Hari ini okey, esok… jadi lain. Namun saya tak lupa berdoa memohon diri terus istiqamah.

“Doa baik-baik untuk sesuatu yang lebih manis itu tentunya jadi azimat. Tak semua akan faham apa yang dilalui kerana mereka (netizen) tidak berada di tempat kita.

“Cuma saya percaya dan berharap mereka tahu proses untuk terus istiqamah mengambil masa, berdepan cabaran dan ujian. Saya harap mereka dan peminat boleh terus menyokong diri ini,” jelasnya.

Disunting

Lebih bermakna, tidak lama selepas bertudung, jenama tudung, MINAZ Hijab terus menyuntingnya sebagai wajah wakilan koleksi raya, dipanggil MINAZ Blooming Raya dilancarkan 31 Mac lalu.

Mengenai jenama tudung itu, pelakon yang bakal muncul dengan drama Khilaf Asmara di TV3 terbitan Radius One Sdn Bhd itu mengakui tertarik dengan konsep minimalis diketengahkan.

Iklan

“Saya boleh kata jatuh cinta pandang pertama terhadap jenama itu. Kak Pija MINAZ yang juga orang penting jenama itu pun sangat menyenangkan. Terasa seperti disayangi kakak yang mengambil berat dengan hala tuju lebih baik adiknya,” katanya.

NELYDIA
Pija MINAZ (duduk) bersama dua wajah kempen raya, Nelydia Senrose dan Ayana Jihye Moon.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, wanita berusia 27 tahun itu juga bakal membintangi beberapa buah telefilem tidak lama lagi.

“Saya percaya Tuhan itu pemegang rezeki kita. Ada yang bertanya tak takutkah saya dengan rezeki, jika memilih untuk bertudung.

“Saya tak gentar dan takut. Setiap kita pasti ada ujian masing-masing. Boleh jadi kalau Tuhan menyekat rezeki kita, itu adalah sesuatu yang baik. Demikian juga jika beroleh rezeki, ia mungkin boleh memudaratkan kita.

Iklan

“Saya percaya apa yang berlaku contohnya tiada rezeki berlakon itu bermakna Tuhan melindungi kita untuk sesuatu yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Pija MINAZ selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif jenama itu mengakui pemilihan Nelydia mendapat reaksi positif.

“Sejak Nelydia diperkenalkan di semua platform digital sebagai wajah kempen utama edisi istimewa ini, ramai yang telah memberikan maklum balas positif terhadap pemilihannya. Tidak kurang juga yang mendoakan dia untuk kekal istiqamah berhijab.

“Seperti seorang adik, tutur bicara Nelydia yang lemah lembut dan dirinya sendiri yang tidak malu meminta nasihat untuk kekal berhijab membuatkan saya begitu selesa bekerjasama dengannya,” katanya yang turut memilih wanita mualaf, Ayana Jihye Moon sebagai wajah kempen di samping Nelydia.