PENANGAN drama bersiri Melur Untuk Firdaus yang baru sahaja menutup tirai di slot Lestary pada 15 Julai lalu telah berjaya meraih 11 juta penonton di Malaysia.

Gandingan serasi Meerqeen dan Anna Jobling selaku pelakon utama ini juga mencapai 823 juta interaksi di media sosial sepanjang 28 episod bersiaran di kaca televisyen (sumber penarafan Nielsen 2022 Mei – Julai).

Lebih istimewa, drama yang penuh dengan bibit-bibit romantik ini telah mencetus fenomena di Asia Tenggara dan sejak mula disiarkan sehingga kini sehingga memperlihatkan sebanyak 200 akaun kelab peminat di media sosial telah dicipta oleh peminat-peminat negara dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei dan Thailand.

Maklum balas dari penonton melalui media sosial rata-rata memberi pujian kepada pelakon kesukaan mereka seperti Meerqeen, Anna Jobling, Fimie Don dan Nesa Idrus kerana berjaya menghayati watak-watak yang diberikan sehingga penonton mahukan drama ini disambung ke musim yang kedua.

Iklan

Kegembiraan turut dikongsikan dengan kejayaan OST Melur Untuk Firdaus, Duka Sebalik Tawa nyanyian Puteri Khareeza apabila memperolehi 1.8 juta tontonan di YouTube dalam masa sebulan.

Iklan

Selain itu, ia juga telah berjaya menduduki tempat ketiga di Spotify carta pop terkini dan trending di YouTube di mana menduduki tangga ke 23 untuk muzik.