PENYANYI dan cef selebriti Datuk Fazley Yaacob berkongsi berita gembira apabila sekali lagi menerima penghargaan apabila dinobatkan sebagai Asean’s Most Influential Chef.

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri sempena majlis Asean Food & Travel Awards 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Khamis.

“Alhamdulillah saya diiktirafkan dengan lagi satu kemenangan. Semalam saya diberi penghormatan Asean’s Most Influential Chef di sebuah acara di Sheraton Imperial Hotel anjuran Asean Food & Travel dan dirasmikan Datuk Seri Nancy Shukri.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan dan rakan niaga yang bantu menaikkan nama sepanjang kerjaya saya sebagai seorang tukang masak terutama sekali empat tahun ini termasuk Starbucks Malaysia, Krispy Kreme Malaysia, Tony Roma’s Malaysia, The Manhattan Fish Market Malaysia, Four Seasons Kuala Lumpur, SweetLab, Tourism Negeri Sembilan dan Chic’in,” katanya menerusi satu hantaran yang dilakukan di laman Instagram miliknya.

Dalam perkongsian sama, Fazley yang juga pemilik Suka Sucre Bistro itu berkata, pengiktirafan yang diterima itu menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus berkarya dan mengharumkan nama negara.

Iklan

“Insya-ALLAH saya akan gunakan penghargaan ini sebagai pembakar semangat supaya terus berkarya dan terus berinovasi dalam perjuangan saya mengharumkan nama Malaysia khususnya Negeri Sembilan, dalam kerja dan karya saya.

Iklan

“Special Thanks to my lovely wife, Azrene Ahmad dan ibu for your endless love, prayers and unconditional support,” tulisnya yang sebelum ini turut menerima pelbagai pengiktirafan dalam bidang masakan.