FILEM terbitan produksi Korea Selatan terus mencuri tumpuan dengan naskhah-naskhah terbaik diketengahkan kepada penonton.

Terbaru, filem Hunt yang juga merupakan karya perdana aktor yang popular dengan siri Squid Game, Lee Jung-jae sebagai pengarah menjadi bualan ramai.

Filem aksi risikan itu tampil menarik dengan jalan cerita berbeza bersama pakej tersendiri yang dibawa dalam naskhah aksi tersebut.

Mengambil latar masa sekitar tahun 1980an, filem itu menceritakan tentang geopolitik Korea Selatan pada era itu dengan memberi fokus kepada kisah National Intelligence Service (NIS) dengan dua ejennya, Park Pyung-ho lakonan Lee Jung-jae serta Kim Jung-do (Jung Woo-sung).

Konflik bermula apabila berlakunya cubaan membunuh terhadap presiden Korea Selatan, Chun Doo-hwan dan dua ejen tersebut ditugaskan mencari siapa dalangnya.

Mereka mendapat tahu rancangan jahat itu dilakukan ejen perisik dari Korea Utara, yang dikenali sebagai Donglim. Namun dalam masa sama kedua-duanya saling curiga antara satu sama lain.

Meskipun filem ini merupakan debut Lee Jung-jae sebagai pengarah, hasilnya boleh dianggap cemerlang untuk orang baharu sepertinya.

Babak-babak dalam Hunt dipersembahkan dengan elemen drama penuh motif tersembunyi, tempo laju dan penuh aksi sehingga membuatkan penonton tidak sempat untuk menarik nafas.

Keadaan tegang berlaku secara berterusan seawal minit pertama filem ini bermula sehinggalah ke penghujungnya. Malah penonton juga diajak berteka-teki siapakah musuh yang sebenarnya.

Antara babak menarik dalam Hunt.

Aksi pertarungan, tembak-menembak, pengeboman dan soal siasat ditampilkan dengan cukup baik, apatah lagi dengan penonton akan dibuat terus menebak siapa musuh di balik selimut yang sebenarnya. sinematografi dan setting menarik yang berjaya memberi impak berganda kepada tontonan.

Filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu juga mengunci penonton dengan beberapa plot twist yang sama sekali tidak dapat dihidu. Manakan tidak, konfliknya juga berlapis-lapis dan menuntut lebih fokus untuk memahaminya.

Iklan

Menerusi filem ini juga penonton didedahkan dengan tindakan licik Korea Utara yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi agenda mereka. Unsur pengkhianatan dan ketaatan melulu pada negara juga mencetuskan pelbagai kejutan.

Pujian juga harus diberikan kepada gandingan aktor hebat, Lee Jung-jae dan Jung Woo-sung yang begitu serasi dan selesa dengan karakter masing-masing.

Hunt diklasifikasikan sebagai filem untuk tontonan 18 tahun ke atas berikutan beberapa elemen keganasan yang diselitkan dalam filem ini.

Iklan

Hunt
Bahasa: Korea
Klasifikasi: 18
Genre: Aksi/drama
Durasi: 2 jam 6 minit
Pengarah: Lee Jung-jae
Pelakon: Lee Jung-jae, Jung Woo-sung, Jeon Hye-jin, Heo Sung-tae, Go Yoon-jung
Tarikh Tayangan: 8 Disember 2022
Edaran: GSC Movies

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.