DALAM industri seni tanah air, nama Aina Abdul cukup gah. Beliau berada dalam liganya tersendiri. Reputasi yang dibina semakin kukuh.

Meski pada awal kemunculan, sosok pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani tidak diendahkan khalayak, namun pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) telah membuka laluan berbeza.

Tuah lagu Sumpah yang dibawa pada AJL34 membawanya ke satu tahap lain. Selepas itu, saban tahun, kelibat Aina terus menggamatkan AJL.

Pada 12 Februari 2023, beliau bakal mempertaruhkan lagu Terus Hidup ciptaan dan nukilannya sendiri.

Ketika ditemui baru-baru ini, Aina berkata, pentas AJL sangat bermakna buat dirinya secara peribadi.

“Perasaan saya sukar digambarkan dengan kata-kata. Jujurnya, walau lagu Terus Hidup merupakan penyertaan kali keempat pada AJL37, saya tetap rasakan seperti pertama kali layak.

“Keterujaannya tetap sama, bukan teruja untuk menang, tetapi lebih kepada mahu memberi sesuatu buat penonton,” ujarnya.

Mengenai persaingan daripada barisan penyanyi mantap seperti Liza Hanim, Marsha Milan, Ernie Zakri dan Shila Amzah yang telah mencetuskan pelbagai pandangan serta perbandingan oleh netizen, Aina punya jawapan sendiri.

“Saya teruja dapat berkongsi pentas dengan nama-nama hebat seperti mereka.

“Namun, saya tidak mahu meletakkan diri dalam situasi untuk berlawan siapa yang hebat capai note lebih tinggi dan sebagainya kerana ia akan jadi tidak sihat.

“Secara jujurnya saya hanya mahu melihat dan fokus kepada kekuatan serta kelemahan diri sendiri sahaja. Saya tidak kisah tentang perbandingan yang akan dibuat netizen kerana itu hak mereka. Netizen tetap netizen,” ujarnya.

Pun demikian, anak didik kepada guru vokal terkenal, Cikgu Syafi itu hanya mahu melakukan sesuatu yang meninggalkan impak positif.

“Bohonglah jika kata saya tidak fikir langsung tentang kemenangan, tetapi saya sebenarnya lebih fokus kepada usaha untuk memberikan yang terbaik agar apa ditampilkan tidak mengecewakan.

“Bagi saya, AJL bukan sekadar pertandingan, tetapi ia lebih daripada itu. Perkara-perkara yang ada di sebalik persiapan di pentas berprestij berkenaan sentiasa buat saya bergerak dan muzik saya terasa lebih hidup,” tuturnya yang sentiasa berani tampil dengan garapan idea baharu.

Bukan bebanan

Pada tahap dan kedudukannya saat ini, setiap inci gerak-geri Aina sentiasa mencuri perhatian ramai.

Bukan sahaja dalam dalam pertandingan yang disertai, malah ketika menghadiri acara tertentu. Bahunya sentiasa tergalas harapan dan jangkaan tinggi daripada para peminat.

Iklan

Tidak pernah melihat ia sebagai beban, wanita 29 tahun itu terus memupuk keinginan tinggi untuk tampil dengan karya terbaik.

Empunya diri mahu mencipta momen demi momen yang akan menjadi hal terindah buatnya kelak.

“Saya akui makin lama, makin tinggi jangkaan diletakkan peminat kepada saya terutamanya apabila melibatkan pentas AJL.

“Saya tak terasa ia satu bebanan, sebaliknya membakar semangat saya untuk bekerja lebih keras,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu lagi.

Seperkara, soal fesyen yang digayakan Aina sering mengundang persepsi. Masing-masing ada kesimpulan yang mahu diketengahkan.

Iklan

Pun demikian, tegas selebriti tersebut, beliau tetap teguh berdiri atas prinsip sendiri dan tidak mahu membiarkan aura negatif menguasai diri.

“Saya tahu orang di luar sana seperti memerhati dan menunggu apa lagi yang saya boleh atau mahu buat selepas ini. Bagaimanapun, saya tidak terlalu fikirkan tentang itu.

“Saya habiskan masa saya dengan bersantai di rumah, menonton dan membaca sesuatu yang mampu memberikan inspirasi buat karya-karya saya akan datang, baik untuk lagu, fesyen dan sebagainya,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.