BAHTERA perkahwinan pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Afdlin Shauki dan isterinya, Datin Maria Christina Orow Abdullah yang dilayari hampir 25 tahun sudah ‘karam’ sejak tiga bulan lalu.

Berita duka itu didedahkan sendiri Maria menerusi akaun Instagramnya yang memaklumkan rumah tangga mereka sudah berakhir pada April lalu, namun masih mengekalkan hubungan baik.

“Hanya tinggal beberapa bulan sahaja untuk menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-25 kami. Saya dan Afdlin membuat keputusan bahawa kami akhirnya telah bercerai pada April lalu.

“Keputusan yang dibuat agak pantas. Mungkin kerana tidak dapat dielakkan. Kami tidak melihat perceraian ini sebagai musuh atau pengakhiran kepada hubungan kami.

“Saya mengumumkan perkara ini sekarang kerana bulan ini sudah cukup tempoh edah saya selama tiga bulan,” katanya.

Tambah Maria, kehidupan bahagia yang dinikmatinya bersama Afdlin diuji sewaktu pandemik Covid-19 sehingga mencetuskan salah faham, sekali gus menjadi punca utama keretakan dalam rumah tangganya.

“Kehidupan bersama membesarkan anak-anak, keluarga termasuk bekerjasama untuk syarikat, kami mula membuat keputusan secara individu yang memberi kesan pada hubungan ini.

“Ketika tempoh pandemik sebelum ini, hidup kami mula berubah. Kami cuba memulihkan keadaan, namun tidak seperti yang diharapkan apabila tiada lagi persefahaman antara kedua-dua belah pihak.

“Apabila kehidupan kembali normal tahun ini dan ada isu yang timbul, nampaknya kami tak dapat teruskan kehidupan tanpa sikap kompromi.

Iklan

“Dalam erti kata lain, kami merasakan bahawa kompromi itu tidak lagi diperlukan seandainya kami sudah tidak sehaluan dan inginkan yang terbaik untuk kehidupan satu sama lain,” ujarnya.

AFDLIN-CHRISTINA
Meskipun sudah bercerai ketika Ramadan lalu, namun pasangan ini tetap menyambut Lebaran bersama pada Mei lalu.

Biarpun sudah bercerai, pasangan itu berjanji tetap menyokong antara satu sama lain sebagai seorang sahabat demi anak-anak.

“Saya tahu, Afdlin akan terus menyokong saya sebagai sahabat dan begitu juga saya yang akan terus menyokongnya sebagai orang yang banyak mempengaruhi kehidupan saya. Harapan saya, semoga privasi saya dan anak-anak saya dihormati,” jelasnya yang berharap privasi dia dan anak-anaknya tidak diganggu.

Iklan

Sementara itu, Afdlin pada ruangan komen memaklumkan apa yang dikongsikan Christina adalah selengkap-lengkapnya apa yang mereka berdua rasai antara satu sama lain.

“Saya masih sayangkan dia, saya doakan dia mendapat kebaikan dalam hidup dan akan sentiasa bersamanya serta anak-anak sepanjang hidup,” tulisnya ringkas.

Afdlin dan Maria mendirikan rumah tangga pada tahun 1997 dan dikurniakan tiga orang cahaya kata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.