PERNAH melalui episod duka apabila kehilangan anak tidak sesekali mematahkan semangat Azmi Saat untuk bangkit daripada kesedihan.

Meskipun kehilangan itu menggores jiwa, vokalis kumpulan Caliph Buskers ini bagaikan sudah ‘berdamai’ dengan takdir.

Bangkit daripada segala kesedihan­, dia kini tampil dengan lagu berjudul Permataku.
Lagu ciptaan Ajai itu bagaikan bercerita apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Sebenarnya lagu ini sudah ada sebelum anak saya lahir lagi. Saya dan Ajai berbincang untuk merakamkan sebuah lagu sempena kelahiran orang baharu ketika itu.

“Apabila anak hanya sempat melihat dunia seketika sahaja, kami berbincang semula mengenai lirik dan sebagainya. Daripada perbincangan itulah kami mengubah sedikit hujung lagu ini sebagai ‘tanda’ kehilangan.

“Lagu ini bukanlah bercerita tentang kehilangan anak sahaja. Kita boleh kaitkan apa pun keadaan berdasarkan pemahaman masing-masing,” jelasnya.

Pun begitu, Azmi bersyukur dapat merasai detik indah menjadi bapa meskipun seketika.
Dia juga berbesar hati apabila Ahmad Fedtri Yahya menterjemah apa yang dirasai menerusi bait-bait lirik yang indah.

Bagai mengerti apa yang dilalui, Permataku memberikan Azmi seribu satu rasa yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata sementelah dia melalui episod kehilangan permata hatinya, Khairul Afnan, setelah 10 tahun menanti.

AZMI SAAT

Bayi lelaki yang dilahirkan pada 27 September 2021 hanya bertahan selama tiga hari sahaja dan pergi buat selama-lamanya.

Iklan

“Apabila mendengar lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab ia memang merupakan isi hati saya. Tak ada sebarang perubahan dilakukan kerana saya percaya ini yang terbaik.

“Tapi apabila kami memulakan penggambaran video muzik (MV), pihak produksi ada bertanyakan sama ada boleh mengaitkan gambaran anak atau tidak.
“Saya okay sahaja memandangkan ini memang idea asal. Mungkin mereka risau saya bersedih,” katanya.

Kerjasama Ajai

Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, Azmi bersyukur kerana banyak diberikan tunjuk ajar oleh komposer berpengalaman itu sepanjang proses rakaman berlangsung.
Ajai juga memberikan semangat kepadanya untuk terus kuat dalam menghadapi kehilangan.

Iklan

“Ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai. Memang pada awalnya saya berdebar memandangkan ramai yang menganggap dia garang.

“Tapi bila sudah berjumpa, sangat berbeza. Dia banyak memberikan ilmu baharu kepada saya dan mengajar teknik nyanyian serta memperbetulkan mana yang kurang,” katanya.

Permataku sudah berada di semua platform digital sejak 22 Julai lalu dan MV pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.