BERGELAR penyanyi otai bukan satu kelebihan untuk kekal dalam pertandingan realiti Hijrahkan Laguku terbitan TV AlHijrah.

Buktinya, dua minggu berturut-turut penyanyi popular di era 1990an yang menyertai rancangan ini gagal melangkah ke minggu seterusnya.

Jika Rahmad Mega meninggalkan pentas Hijrahkan Laguku pada minggu lalu, konsert minggu keempat yang berlangsung malam tadi pula menyaksikan Zack Kool yang pernah popular dengan lagu Bebas, diumumkan tersingkir.

Pada minggu yang bertemakan teman Sejati, Zack Kool yang menyampaikan medley lagu Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah.

Bagaimanapun persembahan tersebut gagal menambat hati barisan juri yang terdiri daripada Fauzi Marzuki, Hazimin Inteam dan Ustaz Syamsul Debat apabila hanya mendapat 55 peratus (%) markah secara keseluruhan.

Menurut Zack, walau terpaksa meninggalkan Hijrahkan Laguku pada minggu ini, dia berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan sepanjang empat minggu.

“Saya merancang untuk menyanyikan sebuah lagu baru di salah satu episod program ini, namun apakan daya, perjuangan saya terhenti di sini.

“Insya- ALLAH jika diberi peluang, saya ingin nyanyikan lagu baru itu di platform bersesuaian yang diberikan oleh TV AlHijrah nanti,” katanya.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna Zulkarnaen Mokhtar menyambut baik Hasrat Zack Kool untuk terus berdakwah di platform TV AlHijrah.

“Adat pertandingan realiti. Perlu ada penyingkiran. Perlu ada juara. Namun, kami tidak akan mensia-siakan perjalanan hijrah artis-artis Hijrahkan Laguku.

“TV AlHijrah bukan sahaja pentas untuk para asatizah menyampaikan ilmu agama, tetapi kami juga buka stesen kami untuk para artis dan penggiat seni untuk sama-sama berdakwah mengikut keupayaan, bakat dan ruang lingkup masing-masing.

“Insya-ALLAH jika tiada aral melintang, para peminat kelapan-lapan artis Hijrahkan Laguku akan kerap melihat kemunculan artis kesayangan mereka di TV AlHijrah samada sebagai hos, panel mahupun penghibur. Kita sama-sama doa yang terbaik,” ujarnya.

Iklan
Shahir (tengah) mendapat markah tertinggi, Mark Adam dan PG Adam tampil dengan persembahan meruntun hati. – FOTO TV AlHijrah
Iwan, Datuk Nash dan Zaff turut memberikan saingan sengit meneruis nyanyian dan gubahan lirik lagu terbaik mereka. – FOTO TV AlHijrah

Sementara itu, persembahan meruntun jiwa dari Mark Adam dan PG Adam membuatkan suasana di studio TV AlHijrah sepi seketika.

Penonton dilihat hiba, malahan ada yang mengalirkan air mata apabila PG Adam menyampaikan lagu Untukmu Kasih dalam mengenang arwah ibunya yang pergi meninggalkan dunia ini empat tahun lalu akibat kompilkasi jantung.

Pada minggu ini Adam juga memenangi Anugerah Versatil selagi gus melayakkan dirinya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3000 yang akan diwakafkan kepada badan-badan berwajib pilihan TV AlHijrah.

Mark Adam mencuri perhatian ramai apabila tampil menyanyikan lagu Kesetiaan nyanyian Allahyarham Siti Sarah yang merupakan sahabat baiknya dan isteri, Norazah Redzuan.

Iklan

Penjiwaan Mark Adam ditambah dengan adab persembahan dan lirik lagu menyelamatkannya daripada tersingkir walau berada di kedudukan kedua terbawah.

Selepas penyingkiran Zack Kool, enam peserta lain yang meneruskan perjuangan pada minggu hadapan yang mengangkat tema Laguku, Lagumu Jua ialah PG Adam, Shahir Zawawi, Datuk Nash, Iwan Syahman, Zaff VE dan Mark Adam.

Hijrahkan Laguku yang menampilkan Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos itu bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

Siaran ulangan boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang, manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis Hijrahkan Laguku pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.