SETELAH lebih sedekad menanti sekuel filem epik Avatar yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri perfileman dunia sebelum ini, James Cameron kembali mencipta magis menerusi Avatar: The Way Of Water.

Pengarah hebat ini ternyata mempunyai daya kreativiti luar biasa yang diterjemahkan dengan sempurna dalam karya dihasilkan.

Buah tangan terbaharunya, Avatar: The Way Of Water tampil dengan pesona berganda menerusi sajian sinematik hebat sepanjang tiga jam 15 minit tontonan. Luar biasa.

Jika filem pertama Avatar sebelum ini menampilkan kehebatan planet Pandora di hutan rimba, sekuelnya pula beralih kepada keindahan hidupan laut yang sangat mengagumkan.

Filem yang masih mengekalkan teraju utamanya, Sam Worthington sebagai Jake Sully dan Zoe Saldana menerusi watak Neytiri itu membuka kisah dengan kehidupan bahagia pasangan ini bersama empat anak mereka.

Namun kedatangan semula ‘orang langit’ untuk kembali menakluk planet Pandora, sekali gus menangkap Jake yang dituduh pengkhianat menyebabkan dia terpaksa membawa keluarganya berpindah dan mencari perlindungan di sebuah penempatan laut yang dihuni puak Metkayina.

Bagaimanapun Jake dan keluarganya berjaya dijejaki dan terpaksa berdepan pertarungan sengit dalam usaha menyelamatkan diri mereka dan melindungi Pandora daripada musnah.

Lakonan mantap Sam Worthington dan Zoe Saldana selaku teraju utama.

Naskhah ini tampil dengan jalan cerita sederhana, namun dibangunkan dengan cara cukup besar sehingga kesederhanaan itu menjadi perkara paling hebat dalam bentuk visual yang dipertontonkan.

Mesej

Di sebalik konflik dan misi jahat ‘orang langit’ menakluki Pandora, filem ini membawa penonton menelusuri keindahan dunia samudera ciptaan James yang begitu mengasyikkan.

Setiap visual dipaparkan dengan cukup teliti sehingga menjadikan apa yang diperlihat dalam dunia Pandora itu seolah-olah benar wujud di dunia nyata. Imaginasi tahap tertinggi dan di luar kotak pemikiran biasa.

Penghasilan visual dengan teknik imej janaan komputer (CGI) serta grafik yang digunakan berjaya memberi impak luar biasa.

Iklan

Tidak hanya itu, penonton juga disajikan dengan elemen aksi penuh debaran, emosi dan hiburan dalam masa sama. Malah setiap karakter yang terlibat juga berjaya memenuhi peranan mereka dengan sangat baik dalam menghidupkan filem ini.

Lebih daripada itu, filem epik ini turut membawa mesej besar untuk dihadam penonton berkenaan kekeluargaan, persahabatan, penjagaan alam sekitar sehinggalah kepada sikap tamak dan kerakusan manusia yang boleh membawa kepada kemusnahan.

Secara keseluruhannya Avatar: The Way Of Water adalah sebuah filem wajib tonton dan tidak harus dilepaskan. Penantian 13 tahun yang sangat berbaloi untuk sekuel sehebat ini.

Iklan


Avatar: The Way Of Water
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Aksi/fantasi
Durasi: 3 jam 15 minit
Pengarah: James Cameron
Pelakon: Sam Worthington, Zoe Saldana, Stephen Lang, Kate Winslet, Sigourney Weaver
Tarikh Tayangan: 15 Disember 2022
Edaran: Walt Disney Pictures

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.