BERTEMAKAN Sucinya Ramadan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan kempen Program Khas Ramadan RTM 2021 dengan menyajikan pelbagai rancangan menarik sepanjang Ramadan tahun ini.

Menerusi program khas tersebut, RTM menawarkan pilihan program terbaik menerusi saluran TV utamanya iaitu TV1, TV2 dan TV Okey, selain siaran di 34 stesen radio.

Antara yang menarik di TV1 ialah dokumentari Syahadah memaparkan keindahan Islam dalam kalangan masyarakat Islam kontemporari berlandaskan al-Quran.

Program itu akan bersiaran sepanjang Ramadan mulai 13 April, jam 6.30 petang menerusi TV1.

Diikuti program Tadabbur Ramadan, Salam Pagi, Borak Dulu #barubuka, Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom, Singgah Sini dan Kembara Awish & Juju.

Tidak ketinggalan telefilem eksklusif di slot Panggung RTM menerusi Bilal Gantian, Selumbar, Terlajak Subuh dan Ku Genggam Kunci Syurga.

Iklan

Saluran TV2 turut meriah dengan pilihan program seperti Chef Rose Masak Apa?, Ihya Ramadan, selain drama bersiri seperti Kuali Mentua Lauk Menantu, Calon Menantu Tuan Rumah dan lain-lain.

Saluran TV Okey menyantuni penonton setia salurannya dengan drama bersiri baharu, Kelmarin Cinta dan telefilem Izrail Memanggil.

Iklan

Sementara itu, menerusi saluran radio, RTM buat kali sembilan menampilkan program Jelajah Ramadan 2021, melibatkan 24 buah lokasi di seluruh negara bermula 8 April hingga 9 Mei depan.

Tidak ketinggalan, stesen-stesen radio RTM turut menawarkan pelbagai rancangan khas mengimarahkan bulan Ramadan..