Ayden dan Ara bertemu Menteri Pendidikan Singapura di rumah Syed Saddiq, gelagat keluarga jadi perhatian – 'Makanan enak, teman yang hebat'
MAKAN malam bersama keluarga bertukar menjadi pertemuan istimewa apabila tetamu yang hadir bukan calang-calang orang.
Bukan sahaja berpeluang berkenalan dengan pemimpin negara jiran, malah anak-anak turut menjadi sebahagian daripada perbualan yang menyentuh soal pendidikan dan masa depan generasi muda.
Momen menarik itu dikongsikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerusi Instagram apabila menerima kunjungan Menteri Pendidikan Singapura, Desmond Lee, untuk makan malam bersama keluarganya.
Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan beliau turut menjemput Desmond ke majlis resepsi perkahwinannya. Meskipun menteri berkenaan tidak dapat memenuhi jemputan tersebut, mereka akhirnya berpeluang bertemu dalam suasana lebih santai di kediamannya.
Berseloroh mengenai pertemuan itu, Syed Saddiq menggelarkannya sebagai ‘bilateral meeting’ atau mesyuarat dua hala. Lebih mencuit hati, ahli politik muda itu turut memperkenalkan ‘delegasi’ dari Malaysia yang dibawanya ke meja makan, iaitu ibunya serta dua anak Bella Astillah, Ayden dan Ara.
“Untuk ‘mesyuarat dua hala’ kali ini, saya bawa yang terbaik dari Malaysia: seorang guru veteran yang berasakan dirinya masih muda (iaitu ibu saya), serta dua kanak-kanak kecil yang berasakan diri mereka dah dewasa, Ayden dan Ara!” tulisnya di Instagram miliknya.
Usikan tersebut memperlihatkan sisi santai Syed Saddiq ketika bersama keluarga. Ibunya yang merupakan seorang guru veteran turut menjadi bahan gurauan, manakala Ayden dan Ara pula diusik sebagai kanak-kanak yang merasakan diri sudah dewasa.

Bicara pendidikan, politik dan keluarga
Di sebalik gelak tawa di meja makan, pertemuan itu turut membuka ruang untuk mereka bertukar pandangan mengenai politik, pendidikan dan keluarga.
Syed Saddiq berkongsi bahawa perbualan bersama Desmond memberikan gambaran lebih jelas tentang sistem pendidikan Singapura serta perkara yang boleh dipelajari Malaysia untuk manfaat generasi akan datang.
“Selepas mendengar perkongsian beliau, saya dapat memahami mengapa Singapura menjadi salah satu negara yang memiliki sistem pendidikan terbaik di dunia. Banyak yang boleh Malaysia pelajari demi masa depan anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Desmond kerana meluangkan masa bersama keluarganya.
“Terima kasih kerana meluangkan masa untuk keluarga kami, Menteri.
“Makanan yang enak, teman yang hebat dan banyak perkara untuk dipelajari,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tidak ketinggalan, Syed Saddiq turut berseloroh bahawa keluarganya masih tidak percaya Desmond sebenarnya jauh lebih berusia berbanding dirinya.
“P/S: Keluarga saya masih tidak percaya bahawa anda jauh lebih berusia daripada saya,” ujarnya.

Minta maaf anak-anak tidak berpakaian formal
Satu lagi perkara yang mencuri perhatian ialah sikap bersahaja Syed Saddiq apabila memohon maaf kerana Ayden dan Ara tidak berpakaian formal ketika menerima kunjungan menteri berkenaan.
Walaupun tetamu yang hadir merupakan seorang pemimpin dari Singapura, suasana makan malam itu kekal santai dengan kehadiran ahli keluarga.
Pertemuan tersebut bukan sekadar peluang menikmati hidangan bersama, malah menjadi ruang untuk bertukar ilmu dan pandangan merentas negara.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
