SELEBRITI popular, Azwan Ali, 56 membatalkan hasrat melawan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Azwan atau lebih dikenali dengan panggilan Diva AA memaklumkan membuat keputusan itu selepas mendengar bisikan arwah ibunya, Mak Tom yang menghalangnya untuk bertanding.

“Saya selalu dapat mimpi Mak Tom dan pagi ini selepas Subuh, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan arwah ibu saya menasihatkan saya jangan bertanding.

“Saya minta maaf sebab terlalu ramai penyokong yang inginkan saya bertanding. Jadi maafkan saya, hajat anda tidak kesampaian. Saya minta maaf kerana keputusan saya mungkin mengejutkan semua,” ujarnya.

Tambah Diva AA dalam sebak, dia juga telah menerima panggilan daripada isteri Azmin, Datin Seri Shamsida Taharin malam tadi yang turut menjadi faktornya menarik diri.

“Kami bercakap panjang lebar malam tadi, tapi panggilan itu bukanlah untuk memujuk saya untuk tak bertanding. Jangan salah faham. Kami bercakap mengenai topik lain.

“Jujurnya saya sangat menghargai jasanya dan saya sangat terharu apabila beliau berkata Azmin selalu bertanya pasal saya. Itu antara faktor di sebalik keputusan saya menarik diri. Saya juga gembira dapat bercakap dengan beliau selepas enam tahun kami terpisah.

Iklan

“Beliau akui beliau tak hubungi saya sebab ingatkan saya yang tak mahu menghubunginya. Tapi sebenarnya kami sangat rapat,” katanya.

Azwan yang memakai jubah berwarna merah dilihat tiba paling awal di pekarangan Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu namun tidak masuk ke dewan tersebut.

Iklan

Pada Jumaat, Azwan memaklumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di Gombak pada PRU15 bagi memberikan saingan kepada abangnya, Mohamed Azmin.

Sebelum ini pada PRU14, Azwan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa sebagai calon bebas, namun tewas apabila sekadar meraih 90 undi.