SELEPAS lebih tiga dekad bergiat aktif sebagai anak seni, pelakon veteran Khatijan Tan berhasrat untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan. Apatah lagi pelakon yang kini berusia 61 tahun itu kini sudah menetap di Ipoh sejak lapan tahun lalu.

Bagaimanapun Khatijah yang mula dikenali dengan sitkom Rumah Kedai itu berkata, hasrat tersebut sukar dilaksanakan apabila masih dihujani pelbagai tawaran lakonan yang sukar ditolak.

“Dah lapan tahun saya dan suami menetap di Ipoh. Saya fikir mahu berehat sahaja dan bersara dari dunia seni.

“Namun ia tidak semudah disangka apabila banyak tawaran lakonan yang diterima itu sukar untuk ditolak. Jadi ada jugalah satu dua yang saya buat.

“Memang sukar berhenti secara drastik begitu, jadi saya cuba cara lain dengan hadkan lakonan. Saya tidak lagi muncul dalam drama-drama episod, sebaliknya hanya terlibat dalam telefilem dan filem sahaja,” ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon yang telah membintangi puluhan drama dan filem itu mengakui sudah puas menjayakan pelbagai watak dan kini hanya mencari kelainan dalam lakonannya.

Khatijah yang ditemui ketika majlis pratonton dan sidang media filem Tiga Janda Melawan Dunia di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya baru-baru ini berkata, sebagai pelakon senior, dia mahu mengelakkan untuk menjayakan watak sama yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Saya dah puas bawa pelbagai watak, baik untuk komedi mahupun serius. Jadi kalau boleh saya tidak mahu lagi buat benda sama dan mengharapkan kelainan.

“Bila asyik buat karakter sama, kita rasa seperti sudah tidak ada cabaran. Jadi mungkin atas sebab itulah saya kini sangat memilih naskhah yang ditawarkan dan hanya bersetuju untuk buat apabila dapat watak yang ada kelainan.

Iklan

“Kelainan yang dimaksudkan itu juga ada dalam filem terbaharu lakonan saya, Tiga Janda Melawan Dunia. Seronok apabila dapat buat sesuatu yang berbeza, sekali gus mencuba benda baharu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya yang tampil rap dalam salah satu babak filem tersebut.

Antara babak menarik dalam filem Tiga Janda Melawan Dunia yang mula ditayangakan di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Tiga Janda Melawan Dunia, arahan pengarah muda berbakat, Hyrul Anuar yang turut menampilkan lakonan Raja Azura, Normah Damanhuri, Rosnah Mat Aris, Norman Hakim dan dua pelakon baharu iaitu Abbas Mahmood serta Ellyza Azizi itu mula ditayangkan di pawagam pada 19 Mei (hari ini).

Iklan

Kongsi pengalaman

Dalam perkembangan lain, ibu kepada Pierre Andre itu berkata, dia juga turut terlibat dalam beberapa pementasan teater di sekitar Ipoh, selain tampil dalam kandungan YouTube miliknya anak lelakinya, pelakon Pierre Andre.

“Setelah menetap di Ipoh dan memperlahankan kegiatan seni, masa saya banyak dihabiskan bersama cucu di rumah.

“Sesekali saya ada terlibat dengan pementasan teater berskala kecil di sekitar Ipoh, selain terlibat dalam penghasilan kandungan dalam saluran YouTube milik anak dengan berkongsi pengalaman dalam bidang seni dan sebagainya,” katanya.