Raisa tak sangka ada ramai peminat di Malaysia

A
A
A

BUAT pertama kalinya bakal tampil menemui peminat di Malaysia, penyanyi popular Indonesia, Raisa Andriana mengakui teruja tampil dengan konsert sulungnya pada 20 November ini.

Apatah lagi persembahan istimewa, Raisa: Live In Malaysia yang akan berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur itu dilihat begitu mencuri perhatian ramai sehingga tiketnya laris terjual.

Melihat perkembangan tersebut, Raisa, 32, berkata, sambutan baik yang ditunjukkan peminatnya di Malaysia membuatkan dia semakin bersemangat menampilkan persembahan terbaik, sekali gus meninggalkan kenangan terindah buat mereka.

“Saya sangat bersemangat untuk bertemu peminat di Malaysia, apatah lagi mendapat tahu tiketnya laris sekali. Ia satu kejutan dan semoga dapat membuka jalan untuk saya terus mengembangkan kerjaya di sini pada masa akan datang.

“Sebelum ini ketika menjayakan persembahan di Indonesia mahupun Singapura, ramai peminat dari Malaysia turut hadir dan mengharapkan saya mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

“Jujurnya saya tidak menyangka ada orang-orang di Malaysia mendengar lagu saya kerana sepanjang menghasilkan karya, saya tidak pernah berkesempatan membuat persembahan atau promosi di Malaysia,” ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar konsert Raisa: Live In Malaysia baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk di Anugerah Muzik Indonesia dan Anugerah Planet Muzik itu berkata, dia bakal menghiburkan penonton dengan lebih 20 buah lagu popularnya.

Berbeza dengan persembahan di Indonesia, Raisa mahu memberikan sesuatu yang 'segar' buat peminatnya di Malaysia.

“Saya tidak pernah berinteraksi secara langsung dengan peminat di sini, jadi banyak perkara yang buat saya jadi teruja dan ingin tahu.

“Apa yang penting saya mahu berkenalan dengan budaya muzik serta persembahan di Malaysia agar mudah beradaptasi.

“Pada persembahan itu nanti saya akan menyanyikan lagu-lagu popular saya sebelum ini dengan susunan muzik asalnya agar peminat di sini dapat mengimbau nostalgia dan menyanyi bersama-sama,” katanya yang turut gementar menantikan konsert anjuran Hitman Solutions itu.

Bimbang

Dalam masa sama, penyanyi yang popular dengan lagu Mantan Terindah dan Kali Kedua itu mengakui mempunyai sedikit kebimbangan untuk memilih bahasa yang akan digunakan ketika berinteraksi dengan peminat di konsert tersebut.

“Pada persembahan itu nanti, saya akan turut bercerita tentang karya dan perjalanan seni saya kepada penonton. Kalau menggunakan bahasa Indonesia, saya bimbang peminat di Malaysia tidak dapat memahami sepenuhnya mesej yang ingin disampaikan.

“Malah kalau saya berbahasa Inggeris, mungkin saya sendiri tidak dapat menampilkan jenaka-jenaka atau gurauan yang sering saya selitkan ketika mengadakan persembahan di pentas. Itu kebimbangan saya.

“Jadi saya ada bertanya kepada rakan-rakan lain yang pernah mengadakan konsert di sini tentang pengalaman mereka. Kagum juga dengan Rossa kerana dia menguasai banyak kosa kata bahasa Melayu dan memudahkan interaksi dengan peminat di sini,” katanya.

(FOTO: AZRUL RAFIE)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca