Rentak Bumi 2.0 sebuah persembahan gabungan pelbagai budaya merangkumi tarian kontemporari, tradisional dan moden bakal menemui penonton di Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Disember, jam 8.30 malam.

Persembahan unik itu direalisasikan oleh tiga kumpulan tarian terkemuka di Malaysia iaitu Dua Space Dance Theatre, Yayasan Sutra dan DiDance dan bakal dijayakan barisan penari terbaik di Malaysia.

Idea tentang persembahan tersebut lahir pada tahun lalu ketika dunia bergelut dengan pandemik Covid-19. Dua Space bersama DiDance dan Yayasan Sutra ketika itu menampilkan enam persembahan tarian secara virtual yang dinamakan Rentak Bumi.

Program itu diilhamkan oleh pengarah artistik kumpulan-kumpulan tarian tersebut yang terdiri daripada Anthony Meh dan Aman Yap (Dua Space), Datuk Ramli Ibrahim (Yayasan Sutra) dan Zaridah Abdul Mallik (DiDance) sebagai salah satu program di bawah Arts For All Seasons (ArtsFAS), inisiatif anjuran Yayasan Hasanah.

Menerusi sokongan padu daripada ArtsFAS 2022, tiga produksi tarian itu tampil bekerjasama dan bergabung tenaga sekali lagi untuk mempersembahkan pementasan secara langsung adaptasi Rentak Bumi yang menjanjikan kepuasan serta pengalaman visual yang tiada bandingannya dinamakan Rentak Bumi 2.0.

Tidak hanya itu, terdapat juga aktiviti lain yang turut diadakan bersempena persembahan tersebut iaitu ceramah demonstrasi khas bertajuk Behind the Making of Rentak Bumi yang dijadualkan berlangsung pada 18 Disember, jam 6 petang.

Program itu adalah salah satu cara untuk mendekati pelajar seni persembahan mendalami perihal belakang tabir produksi ini akan diadakan dengan kendalian para pengarah artistik kumpulan-kumpulan tarian yang terlibat.

Pengasas dan Pengarah Artistik Yayasan Sutra, Datuk Ramli Ibrahim, mengharapkan agar program yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan ramai.

“Kami ingin menjemput anda semua untuk datang menyaksikan kemegahan dan kekayaan kesenian tarian Melayu, Cina dan India dengan rangkuman persembahan tarian tradisional sehinggalah ke tarian moden dalam produksi Rentak Bumi 2.0.

Iklan

“Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelajar seni persembahan untuk hadir ke sesi perkongsian khas sebagai peluang untuk mereka mengenali pengarah-pengarah artistik yang merupakan minda kreatif di sebalik penghasilan persembahan tarian di dalam Rentak Bumi.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada ArtsFAS, inisiatif di bawah Yayasan Hasanah yang berpegang teguh kepada misi memelihara dan meraikan kesenian negara terutamanya yang diancam arus kemodenan,” katanya.

Iklan

Tiket-tiket dijual dengan harga RM30, RM50 dan RM100 dan pembelian boleh dibuat menerusi www.cloudjoi.com.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.