MENJELANG sambutan Aidilfitri akan datang, pereka duo terkenal, Rizman Ruzaini tampil dengan koleksi RR Raya 2023.

Memilih slogan, Raikan Raya Bersama Rizman Ruzaini, hampir 100 helaian dilancarkan dengan rekaan bervariasi bagi memberi lebih pilihan kepada orang ramai bergaya di Aidilfiri.

Rizman yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi tersebut di Hotel St. Regis baru-baru ini berkata, selepas hampir dua dekad dalam industri fesyen, fokus jenama itu kini untuk memastikan setiap golongan berpeluang untuk menggayakan jenama tersebut mengikut kemampuan masing-masing.

“Kami mewujudkan dua ‘segmentation’ yang melibatkan jenama Rizman Ruzaini iaitu untuk golongan yang memilih harga yang lebih mewah, manakala RR pula untuk mereka yang mahu membeli jenama ini tanpa perlu memikirkan soal harga.

“Namun untuk tahun ini, kempen kami tertumpu kepada semua golongan melalui satu slogan iaitu Raikan Raya Bersama Rizman Ruzaini.

“Saya yakin semua pelanggan di luar sana yang teringin menyarungkan rekaan eksklusif Rizman Ruzaini mampu untuk berbuat demikian untuk kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rizman turut mendedahkan mereka membelanjakan sehingga RM1 juta untuk melancarkan kempen koleksi RR Raya tahun ini.

“Mengenali saya dan Ruzaini sendiri, kami memang teliti dalam semua aspek. Bukan sahaja pengisian pelancaran, tetapi pemilihan lokasi ini juga harus selari dengan apa yang ingin kami tampilkan pada koleksi kali ini. Eksklusif dan mewah.

“Memang benar untuk perlancaran kali ini juga peruntukkannya adalah RM1 juta. Ia bukan soal duit sebenarnya tetapi ia tentang bagaimana selepas hampir 20 tahun mencabar diri, apa yang ingin kami tonjolkan adalah kematangan jenama ini,” katanya.

Sokongan selebriti

Pada acara sama turut dilancarkan koleksi Fall Winter 2023 jenama itu yang tampil dengan rekaan yang lebih elegan.

Koleksi terbabit turut diperagakan supermodel terkenal, Nasha Aziz, Amber Chia, Tini, Alicia Amin dan lain-lain.

Iklan

Pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 & Raya 2023 yang mendapat sokongan rakan strategik daripada Usanita turut menyaksikan kehadiaran puluhan selebriti tanah air yang meraikan koleksi terbaharu jenama yang sentiasa menjadi pilihan ramai ini.

Antaranya ialah Marion Caunter, Kavita Sidhu, Datuk Syafinaz Selamat, Diana Danielle, Amelia Handerson, Ummi Nazeera, Marsha Milan, Che Puan Sarimah Ibrahim dan ramai lagi.

Rizman Ruzaini bersama Marion Counter, Nasha Aziz dan Syafinaz Selamat.

“Seperti yang kita tahu, Rizman Ruzaini memang cukup akrab dengan golongan selebriti di negara ini. Bagi kami kehadiran jenama ini pada awalnya juga banyak bergantung kepada sokongan selebriti yang tidak putus-putus memberikan maklum balas yang baik tentang jenama ini.

Iklan

“Tentunya saya harapkan hubungan antara selebriti dan Rizman Ruzaini akan terus terjalin erat sekali gus menjadi inspirasi kepada kami untuk terus menghasilkan karya lebih mengujakan pada masa depan,” jelasnya.

(FOTO: RIZMAN RUZAINI)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.