PENYANYI yang juga bekas peserta program Big Stage 2022, Ajoi Zainal berkongsi berita duka apabila rumah keluarganya hampir musnah dijilat api.

Dalam kejadian awal pagi itu, Ajoi memaklumkan keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM200,000 selepas 30 peratus bahagian rumah terbakar meliputi dapur, lapan buah motor dan sebuah kereta.

“Tiada kemalangan jiwa. Cuma buat sementara waktu memang pihak berkuasa tidak membenarkan saya untuk jejak di tempat kejadian dan rumah saya sendiri sehingga diberitahu kelak.

“Sampai sekarang, saya tidak tahu punca kejadian. Semua ini terjadi ketika saya baru 30 minit berada di rumah selepas pulang menyaksikan Big Stage 2023 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Saya dan pembantu peribadi menjadi saksi utama dan terawal,” kongsinya menerusi Instagram Story miliknya.

Iklan

Biarpun sedih dengan insiden yang berlaku, Ajoi atau nama sebenarnya Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, 25, bersyukur kerana ke semua lapan ahli keluarganya selamat dalam kebakaran itu.

“Saya okay, saya kuat, saya normal. Keluarga Zainal Abidin kuat, Insya-ALLAH.

Iklan

“Terima kasih yang bertanya, berdoa dan ingin menolong saya. Terima kasih juga yang terus hulurkan bantuan tanpa saya sedar, yang bagi kunci rumah homestay untuk keluarga saya menetap sementara,” coretnya.