Sara Ali selektif bersebab

A
A
A

KEBIASAANNYA, rata-rata pelakon yang pernah ditemu bual menyatakan keinginan mereka untuk lebih selektif dengan skrip dan watak yang akan dibawakan.

Namun, lain pula dengan pendirian pelakon berbakat, Sara Ali atau nama penuhnya Siti Sarah Hairi Ali. Beliau lebih melihat siapa individu penting yang berada di kerusi pengarahan.

Jelas Sara, pada usia 32 tahun, dirinya enggan lagi membuang masa membintangi karya yang tidak berkualiti.

“Sekarang saya tidak melihat skrip. Bagi saya, kalau skrip tak menarik macam mana sekali pun tetapi jika pengarahnya hebat, naskhah itu boleh jadi bagus.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya sendiri. Kalau pengarah boleh menilai seseorang pelakon, pelakon juga boleh melakukan perkara sama,“ katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama premium terbaharu lakonannya Murder By Moonlight di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Sara, drama lapan episod yang akan menemui penonton di Astro Citra bermula 1 Ogos ini turut dibintangi Sharifah Amani, Riz Amin, Ruzana Ibrahim, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Tambah pelakon yang memulakan karier seni pada 2011 itu, keputusan tersebut juga didorong dengan pengalaman-pengalamannya bekerja bersama pengarah yang tidak memahami kehendak skrip.

“Ada pengarah, dia tak faham skrip. Bayangkan lima orang di set faham tetapi dia tidak faham. Lebih sukar bila individu sebegini tidak terima teguran.

“Jadi, bagi mengelakkan kekecohan, kita terpaksa ikut tapi jiwa itu tidak best. Malah, secara peribadi saya pernah harapkan naskhah lakonan saya itu tidak disiarkan.

“Ada ketika juga saya rasa nak padam saja karya lakonan saya. Seboleh-bolehnya saya mahukan karya yang dibanggakan untuk saya tunjuk kepada anak saya 10 tahun lagi,“ tegas Sara yang terkenal dengan watak serius dan berat dalam drama atau filem yang dilakonkannya.

Meskipun memilih pengarah, bintang yang mula melonjak naik menerusi filem Songlap dan Nur Kasih The Movie itu terbuka bekerja dengan mana-mana pelakon termasuk muka baharu.

Bahkan, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu begitu teruja apabila diberi peluang bekerjasama dengan bintang-bintang yang semakin meningkat naik seperti Hun Haqeem dan Meerqeen.

“Kami berlakon bersama untuk drama Nenek Bongkok Tiga di samping Syafie Naswip dan Fimie Don. Walaupun saya yang paling tua dalam kalangan mereka tapi semuanya terbuka bila saya ajak untuk lakukan sesi latihan.

“Saya memang memandang ke hadapan untuk bekerja dengan muka baharu dan sememangnya mengagumi bakat mereka,“ ujarnya.

Kepercayaan

Dalam pada itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam siri Astro Original terbaharu, Murder By Moonlight, menurut Sara, beliau pada awalnya menyangkakan tidak dapat membintangi naskhah tersebut.

SARA ALISara teruja apabila diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama dalam Murder By Moonlight.

Walaupun bergenre misteri dan penyiasatan, karya arahan empat pengarah itu turut menyelitkan unsur komedi yang sedikit berbeza dengan karakter selalu dibawa oleh Sara.

“Difahamkan ketika sesi casting untuk watak Ameera, saya bersaing dengan seorang lagi pelakon yang saya tidak tahu identitinya. Selepas sesi pertama, saya dihubungi untuk sesi casting peringkat kedua bersama penerbit dan wakil Astro.

“Saya ingat saya tidak dapat kerana pihak Astro mungkin lihat saya hanya bawa watak berat tetapi kemudian mereka sepakat memberi peluang kepada saya,“ kongsinya.

Sudah pasti kata Sara, peluang keemasan tersebut digunakan sebaik mungkin bagi membuktikan kemampuannya.

“Pada masa sama, saya teruja juga apabila Astro memberi peluang kepada pelakon wanita untuk menjadi hero dalam karya terbitan mereka,“ ungkapnya.

Selain Murder By Moonlight, Sara memaklumkan dua lagi naskhah lakonan beliau iaitu sebuah drama siri dan filem akan ditayangkan pada Ogos ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca