LEBIH sedekad bergelar anak seni dan aktif sebagai pelakon, Kamal Adli kini semakin jelas dengan hala tuju kerjaya seninya.

Tidak lagi melihat populariti sebagai hal yang perlu dikejar, bintang yang mula mencipta nama selepas bergelar juara pencarian Hero Remaja edisi 2007/2008 itu kini mahu memfokuskan kepada kualiti kerja dan menambah profil seni miliknya.

Membuktikan misi itu, Kamal membuka tirai 2023 dengan mempertaruhkan filem terbaharu lakonannya berjudul Escape. Menerusi filem aksi thriller arahan Ikhwansha Hazer, Kamal menampilkan sisi berbeza dengan watak aksi pertarungan yang jarang sekali dapat dilihat dalam lakonannya sebelum ini.

Teruja membuka cerita tentang filem tersebut, pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Mohammad Adli itu mengakui watak aksi adalah antara watak yang begitu diidamkan sejak sekian lama.

“Sejak dari dulu saya mengimpikan untuk membawa watak-watak lasak dan naskhah aksi kerana kecenderungan saya memang di situ. Bagaimanapun tawaran yang datang lebih kepada naskhah cinta mahupun komedi yang akhirnya menjadi sinonim dengan saya.

“Jadi bila Ecsape memberikan tawaran berbeza, saya jadi teruja dan memberikan sepenuh dedikasi untuk filem ini agar hasilnya ia dapat menjadi penanda aras buat saya, sekali gus membuka mata pihak lain memberi peluang serupa,” ujarnya kepada SinarPlus.

Escape yang turut dibintangi Elizabeth Tan, Amar Asyraf dan Zamarul Hisyam itu sudah pun menemui penonton di pawagam mulai 5 Januari lalu.

Lembaran Baharu

Menurutnya lagi, lakonan dalam filem tersebut seperti membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya yang selama ini begitu terikat dengan karakter sama sehingga hampir menutup kemampuan lakonannya dalam genre berbeza.

Dalam pada itu, Kamal berkata, tahun 2023 bakal memberikan sesuatu yang berbeza buatnya yang mahu mencari peluang baharu bagi menyerlahkan potensi diri terutama dalam genre aksi.

“Saya betul-betul seronok buat filem ini kerana watak sebeginilah yang saya mahu selama ini. Dalam masa sama, saya juga berharap selepas ini akan ada banyak lagi tawaran sebegini datang dan mungkin juga ia waktu sesuai untuk saya kurangkan watak-watak bercinta dan sebagainya.

“Alhamdulillah untuk projek terbaharu akan datang, saya juga terlibat dengan sebuah drama siri bergenre aksi melibatkan produksi Indonesia.

Iklan

“Saya akan berikan yang terbaik dengan persediaan rapi sebelum masuk ke set penggambaran termasuk melakukan diet untuk dapatkan bentuk badan yang sesuai dengan karakter terbabit,” kongsinya.

Antara babak menarik dalam Escape.

Mengulas isu tular melibatkan segelintir pelakon yang melakukan babak aksi berlebihan untuk menampakkan sesuatu babak itu nampak ‘menjadi’ sehingga mampu mencederakan rakan gandingan, selebriti kelahiran Pahang itu ada pandangannya sendiri.

“Bila kata berlakon, kita perlulah berlakon dan bukan buat betul-betul sehingga mampu menyakitkan atau mencederakan orang lain walaupun ia adalah naskhah aksi.

“Kita boleh gunakan pelbagai teknik untuk nampakkan babak itu realistik. Semua itu seni dan kreativiti yang boleh kita pelajari dan praktikkan.

Iklan

“Saya juga suka belajar tentang perkara itu dan akan mempersiapkan diri sebaiknya untuk buat satu-satu babak aksi,” katanya yang mengidolakan aktor terkenal Jackie Chan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.