NAMA figura hebat ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Suara emas dimiliki mampu membuatkan sesiapa saja yang mendengarnya akan terus jatuh cinta.

Biarpun ketika ini zaman kebangkitan penyanyi baharu dan muda, tidak bermakna Datuk Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin terus berhenti daripada berkarya.

Terbaharu, Aishah, 57, muncul dengan single Ketentuan Takdir hasil ciptaan Chevy Amry dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan.

Istimewanya susunan lagu ini mendapat sentuhan daripada Azlan Abu Hassan, adik kepada Allahyarham Adnan Abu Hassan yang juga komposer dan penerbit untuk lagu serta album Aishah sejak tahun 1990.

“Single kali ini ada kelainan dan memang itu pun yang saya cari, supaya lagu-lagu yang saya rakam tidak mudah diagak.

“Saya suka dengan sentuhan dan susunan lagu ini terutama bila lirik menceritakan keresahan dalam jiwa dan emosi.

“Apabila baca lirik yang ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, ia memberi makna dan saya boleh kaitkan dengan apa yang terjadi mengenai lagu itu.

“Pada saya untuk menyanyi dengan baik, perlu ada kemampuan memahami jalan cerita lagu itu,” katanya.

DATUK AISHAH
Biarpun sudah 36 tahun berada dalam industri, Aishah tetap bersemangat menghasilkan karya baru dan berbeza.

Menurut Aishah, beliau mahu kekal berkarya selagi mampu dan mengharapkan lagu-lagu akan datang lebih memberi cabaran kepada dirinya meskipun sudah 36 tahun menyanyi.

“Perjalanan menjadi anak seni membuatkan saya mahu terus berusaha jadi lebih baik dengan memperbaiki dari pelbagai sudut dalam bidang ini.

“Saya harap lagu ini akan memberi mesej yang berguna, sebab lagu ini ada penceritaan. Ia ibarat cerpen dalam empat minit.

Iklan

“Sebagai penyanyi perlu sampaikan dengan baik kepada pendengar supaya mereka dapat menghayati jalan cerita itu,” ujarnya.

Kecewa

Berkongsi mengenai penghasilan video muzik, Aishah meluahkan rasa kecewa kerana terdapat masalah untuk mendapatkan lokasi yang diinginkan.

“Bila tak dapat, sukar untuk persembahkan apa yang kita mahukan. Tapi itu pengalaman pertama bekerja dengan pasukan produksi ini dan kita belajar daripada kesilapan.

“Bagi artis yang sudah lama macam saya, kita nak ada kelainan dalam lagu. Tapi saya tidak mahu kelainan­ itu terlalu drastik sebab nanti peminat lari.

Iklan

“Jadi kena cari satu keseimbangan dan kekalkan signature sound. Kalau penyanyi dulu ada sound dia yang tersendiri, bila dengar dalam radio orang akan kenal suara itu dulu.

“Kalau kita bandingkan dengan zaman sekarang, orang lebih kenal lagu berbanding penyanyi. Jadi sebab itu saya mahu tekankan signature sound dalam lagu ini. Dalam masa sama, saya mahu lebih segar dan relevan untuk muzik sekarang,” jelasnya.

Lagu Ketentuan Takdir boleh dilayari di semua platform digital seperti Spotify, JOOX, Apple Music, DEEZER dan YouTube Music, manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.