BIARPUN kini lebih aktif dengan kerja-kerja belakang tabir sebagai penerbit dan pengarah menerusi syarikat produksi miliknya, Mermaid Studios, pelakon Liyana Jasmay mengakui tidak pernah meninggalkan dunia lakonan.

Tegas Liyana, 35, keghairahannya terhadap dunia lakonan sentiasa ada cuma ada kala terpaksa membahagikan masa dengan tanggungjawab dalam produksi yang diusahakan bersama kakaknya, Adriana, selain akur tidak selalu mendapat watak-watak yang menonjol.

“Kali terakhir saya dapat watak yang diingati adalah menerusi Papadom 2 ketika sebelum pandemik. Selepas itu saya ada buat beberapa buah drama, tapi tiada karakter yang betul-betul menonjol.

“Jadi pelakon di Malaysia ini, bila kita dapat karakter menonjol, orang akan ingat sampai bila-bila dan begitulah sebaliknya. Ikut rezeki dan tuah juga sebenarnya,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama siri Viu Original, Alter-Naratif baru-baru ini.

Liyana memegang watak sebagai Aira dalam siri Viu original terbaharu, Alter-Naratif.

Berkongsi pembabitannya dalam siri lapan episod yang disiarkan di platform penstriman popular itu, Liyana mengakui teruja dapat bergandingan dengan pengarah dan barisan pelakon hebat dalam naskhah sama.

“Apabila diberitahu siri ini adalah arahan Faizal Ishak dan turut dibintangi Nabila Huda, saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya. Kebetulan pula saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran dan boleh aturkan jadual.

“Walaupun sudah lama berlakon tetapi saya bukanlah orang yang suka bercakap tentang bayaran terlebih dahulu. Apa yang lebih menjadi keutamaan pada saya adalah naskhah.

“Kebanyakan projek yang saya buat adalah disebabkan minat dan keghairahan dalam lakonan, ada juga kerana kawan-kawan. Saya suka berlakon, jadi saya tidak mahu terlalu selektif,” katanya.

Kehilangan

Dalam pada itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 ini mengakui dua tahun ini kebelakangan ini menjadi fasa yang cukup menguji dirinya.

Manakan tidak, dalam tempoh tersebut dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Datuk Jasmay Md Shah yang meninggal dunia pada Disember 2021, diikuti ibunya, Datin Habsah Simpon pada 11 Mei lalu.

Liyana menjadikan arwah ibu bapanya sebagai contoh ideal dalam mengharungi kehidupan mendatangnya.

“Arwah ibu dan bapa adalah peminat nombor satu saya. Kadang-kadang bila rasa penat sangat dan mahu berputus asa, saya akan selalu ingat yang saya ada dua peminat terbaik dalam dunia. Jadi walaupun mereka sudah tiada, saya akan selalu buat mereka bangga selamanya.

Iklan

“Terlalu banyak kenangan manis dan semestinya saya bangga menjadi anak mereka. Kedua-duanya mempunyai pengaruh cukup besar dalam hidup saya. Sekarang hanya tinggal kami adik-beradik yang akan menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu mahu berusaha menjadi insan yang lebih baik dan menjadikan kedua ibu bapanya sebagai contoh ideal dalam kehidupan mendatangnya.

“Arwah ibu dan ayah sangat baik dan cukup disenangi ramai ketika hayat mereka. Urusan pemergian mereka dipermudahkan dan ramai datang menziarah.

“Jadi saya juga mahukan pengakhiran sama. Ia jadi dorongan untuk saya muhasabah diri wan menjadi insan yang lebih baik,” akhirinya.

Iklan

(FOTO: VIU)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi