PENYANYI dan pelakon Dafi meluahkan rasa syukur atas perlantikan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, pada Jumaat.

Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail, 33, berkata, sebagai anak, dia tumpang gembira atas pencapaian yang dimiliknya bapanya itu dan berharap segala amanah dan mandat yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah saya tumpang gembira atas perlantikan papa sebagai Perdana Menteri. Saya bangga dengan pencapaian baharu papa dalam dalam kerjayanya.

“Saya harap dia dapat melunaskan tanggungjawab baharu ini dengan sehabis baik dan akan menjadi Perdana Menteri yang bagus untuk negara,” kata Dafi ketika dihubungi SinarPlus.

Tambah anak kedua daripada empat beradik itu lagi, dia sendiri tidak terfikir apa yang berlaku hari ini dan menganggap ia sebagai kemuncak pencapaian kerjaya politik bapanya.

“Saya sendiri tak pernah fikirkan tentang perkara atau pencapaian ini. Apa pun saya terima dengan baik dan menganggapnya sebagai rezeki papa.

“Saya doakan yang terbaik untuk papa,” katanya.

Dalam pada itu, Dafi mengakui turut bersedia sekiranya selepas ini dia turut terkena tempias dan sasaran pihak tertentu dengan status terkininya sebagai anak kepada Perdana Menteri dan dalam masa sama merupakan seorang selebriti.

Iklan

“Saya tak rasa disebabkan papa dilantik dilantik jadi Perdana Menteri, saya turut terkena tempiasnya.

“Apa pun, saya faham dengan situasi sekarang dan hanya mahu kekal positif dalam apa pun keadaan.

“Saya tidak kisah dengan kecaman kerana dari dulu pun saya dah biasa dengan perkara itu. Orang kutuk dan orang cakap macam-macam sebelum ini, saya OK sahaja,” tegasnya.

Iklan

Terdahulu pada petang Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pelantikan tersebut dilakukan selepas ahli parlimen Bera itu, mendapat 114 sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat, sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.