BIARPUN sebelum ini bermula sebagai penyanyi dan aktif dalam bidang muzik, Mark Adam mengakui terpaksa akur dengan rezekinya yang kini lebih berpihak dalam dunia lakonan.

Menurut Mark atau Fikri Mark Adam Abdullah, selepas pandemik Covid-19, tawaran kerja yang diterimanya lebih banyak untuk lakonan.

Berpegang pada niat untuk mencari rezeki buat diri dan keluarga, selebriti asal Filipina ini menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin, malah berani mencabar diri melakukan sesuatu yang bukan dalam kepakarannya sebelum ini.

“Semua orang tahu saya bermula dalam industri seni sebagai penyanyi, tetapi sejak dua tiga tahun ini terutamanya selepas pandemik, banyak tawaran lakonan yang datang berbanding nyanyian.

“Saya hanya mahu cari makan untuk sara diri dan keluarga, jadi saya ambil sahaja peluang tersebut.

“Bukan tidak ada langsung tawaran persembahan, tetapi saya lebih suka utamakan tawaran yang datang dahulu dan kebetulannya ia daripada lakonan,” ujarnya yang ditemui di majlis rumah terbuka FYP & Indigital Music pada Selasa.

Pun begitu, Mark berkata, dunia lakonan banyak memberi pengalaman baharu buatnya, malah semakin seronok berlakon terutamanya apabila diberi peluang menjayakan pelbagai jenis watak.

Mark bersama Norren dan Redza Rosli dalam salah satu babak drama Bisik-Bisik Gelora.

Meski sinonim dengan watak-watak komedi, bintang berusia 43 tahun itu sentiasa mencari peluang untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

“Pada tahun ini jadual saya memang penuh dengan aktiviti lakonan sahaja. Alhamdulillah sehingga kini beberapa lakonan saya, baik untuk drama, telefilem dan filem sedang menunggu masa untuk ditayangkan.

“Terbaru saya sedang menjalani sebuah drama yang menyaksikan saya membawakan watak lelaki lembut. Pertama kali diberikan watak sebegitu dan saya ambil cabaran tersebut.

“Saya memang mahu cari kelainan sebab nak tunjukan kemampuan berbeza selain watak komedi. Sejak dulu saya sangat berharap jika diberikan watak jahat. Saya nak cuba dan nak tengok kemampuan diri,” katanya yang popular dengan drama Bisik Bisik Gelora.

Iklan

Single baharu

Tidak menafikan minatnya dalam dunia nyanyian masih mendalam, Mark cuba mencari masa yang sesuai untuk tampil dengan karya baharu dan berkongsi dengan peminat.

Malah pada tahun lalu, bintang yang pernah popular dengan lagu Pencuri itu sepatutnya mengadakan sebuah showcase istimewa sempena 10 tahun berada dalam industri.

“Saya memang rindukan dunia nyanyian dan kalau boleh nak aktif macam dulu. Cuma saya tidak boleh tamak dan kena realistik situasi saya sekarang yang lebih banyak dapat peluang dalam bidang lain.

“Apa-apa pun, Insya-ALLAH kalau ada rezeki saya akan tampilkan single baharu. Sebelum ini saya sudah siap rakam beberapa buat lagu dan ia ada dalam simpanan.

Iklan

“Sepatutnya pada tahun lalu saya buat showase sempena 10 tahun dalam industri, tetapi disebabkan kekangan masa dan beberapa faktor lain ia tidak dapat diadakan,” jelas Mark yang turut mengusahakan pusat latihan vokal, Suara Akademy yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi