PENYANYI Tomok terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5,593 kepada butik pakaian berjenama di sebuah pusat beli-belah terkemuka selepas anaknya secara tidak sengaja menumpahkan pengilat kuku pada baju dan seluar di butik tersebut pada malam Ahad.

Menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 39, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika dia dan keluarga ke butik itu untuk membeli seluar.

Bagaimanapun ketika berada di butik tersebut, anaknya tertumpahkan pengilat kuku ke atas empat helai seluar yang setiap satunya berharga RM1,299, dua helai baju berharga RM899 serta dua lagi dengan harga RM499.

Vokalis New Boyz itu diminta membuat bayaran ganti rugi bagi pakaian yang sudah rosak itu dan tidak dibenarkan keluar dari butik berkenaan selagi tidak menyelesaikan pembayaran tersebut.

“Saya tak boleh buat apa, saya tak boleh keluar dari kedai ini. Selepas diskaun saya kena bayar RM5,593.

“Pengilat kuku itu hanya terkena sikit sahaja pada baju, tapi saya faham ini peraturan dan akui ia silap saya.

“Saya pun tak tahulah nk cakap apa. Dah nak raya jadi macam ini pula. Tak apalah, ini ujian,” katanya tenang.

Jual semula

Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk menjual kembali pakaian tersebut kepada orang ramai yang berminat untuk membelinya dengan harga yang lebih rendah.

Iklan

“Saya nak jual seluar ini kalau ada yang nak beli sebab bukan saiz saya, malah ia terlalu besar untuk saya.

“Saya minta tolong, kalau ada sesiapa yang nak beli, boleh mesej saya. Saya tak jual harga ini (asal). Insya-ALLAH ada rezeki lain untuk saya,” katanya.

(FOTO: INSTAGRAM TOMOK)

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.