TIDAK hanya tampil dengan lagu-lagu cinta membuai rasa, penyanyi Siti Nordiana turut mahu berkongsi karya berkonsepkan ketuhanan bersama peminat.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana, berkata, pada saat masyarakat tertekan disebabkan pandemik Covid-19, karya-karya sedemikian diharapkan dapat memberi ketenangan dan semangat positif kepada pendengar.

Menerusi single terbaharunya, Hasbi Rabbi, terbitan Luncai Emas dengan kerjasama SND Soul Entertainment, Nana, tampil berkolaboratif bersama Ustaz Shahrizan.

Karya ciptaan Ikhwan Fattana dan Wan Salleh itu merupakan salah satu single yang dimuatkan dalam album kedua berkonsepkan ketuhanan daripada Nana.

Berkongsi pengalamannya ketika merakamkan single tersebut, kata Nana, dia bertuah mendapat tunjuk ajar daripada Ustaz Shahrizan.

“Alhamdulillah ia merupakan sebuah pengalaman yang banyak mengajar saya. Ustaz Shahrizan banyak memantau nyanyian dan sebutan saya.

“Malah sewaktu rakaman, Ustaz banyak memberikan ilmu dan tunjuk ajar. Misalnya ada nyanyian dan maksud selawat yang saya kurang pasti, Ustaz akan bantu dan memberikan pengisian rohani dalam
masa sama,” katanya.

Nana yang sering mengamalkan zikir munajat Al Mathurat Sughra dalam kehidupan seharian, mengakui hatinya mudah tersentuh dan sering menangis apabila mengalunkan zikir.

“Bila berzikir, saya selalunya akan menangis. Ada masa tertentu, saya menangis mengenangkan dosa-dosa lalu.

“Saya juga mudah tersentuh bila dengar selawat dan zikir dalam bentuk lagu atau melodi kerana saya sukakan muzik, jadi ia dekat dengan saya.

“Apabila melodi dan lagu itu kena dengan situasi atau liriknya, saya akan mudah menitiskan air mata,” katanya.

Mengulas tentang lagu-lagu kerohanian yang semakin mendapat perhatian ramai, wanita berusia 37 tahun itu melihat ia sebagai satu perkembangan positif.

Iklan

“Alhamdulillah sekarang ini lagu kerohanian memang banyak dihasilkan. Malah lagu rap dan pop sekarang pun banyak menjentik lirik kerohanian.

“Sangat bagus apabila anak-anak muda turut dengar dan hafal di mana ia tentunya dapat memberi manfaat kepada semua.

“Saya harap lagu sebegitu makin dekat dengan generasi muda dan mudah-mudahan selepas ini lebih banyak lagu dapat dihasilkan,” katanya yang kerap tersentuh mendengar lagu-lagu Maher Zain dan Opick.

Iklan

Dalam pada itu, Nana mengakui gembira apabila peminatnya menerima baik lagu-lagu berkonsepkan kerohanian yang ditampilkan.

“Ini kali kedua saya rakamkan lagu kerohanian dan peminat sangat suka bila saya nyanyi lagu kerohanian dan zikir.

“Ada peminat yang berterima kasih kerana saya tampilkan lagu begini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada mereka lagu-lagu itu dapat memberikan ketenangan pada jiwa, selain dapat mengalunkan zikir dan selawat bersama saya. Masing-masing dapat pahala,” katanya.