PENYANYI dan usahawan berjaya, Mila Jirin mengakui hadiah istimewa berupa tajaan majlis resespi perkahwinan kepada sahabat baiknya Datin Heliza Helmi baru-baru ini tidak dapat dibandingkan dengan nilai persahabatan mereka yang sudah terjalin sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurut Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmila Jirin, 35, apa yang dilakukan itu tulus datang daripada hatinya dan tidak berhasrat untuk mendedahkan nilai sebenar perbelanjaan majlis tersebut.

“Hadiah dan nilai  majlis resepsi ini tidak boleh dibandingkan dengan usia persahabatan kami yang sudah mencecah 15 tahun. Apa yang saya berikan bertitik tolak atas kasih dan sayang seorang sahabat.

“Kebetulan saya menjalankan empayar perniagaan perkahwinan ini sejak tahun 2013, jadi tak salah saya hadiahkan sesuatu yang dekat di hati untuk insan disayangi,” katanya.

Majlis resepsi Heliza dan suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang diadakan pada 22 Januari lalu berlangsung di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor.

Ungkap Mila yang merupakan pemilik syarikat Bizmilla Wedding Centre itu, pada awalnya Heliza menghubunginya untuk bertanyakan mengenai kekosongan mana mana dewan Bizmilla yang ada untuk digunakan pada 1 Januari lalu.

Bagaimanapun kata Mila, ketika itu dia tidak menyangka dewan itu untuk digunakan oleh Heliza sendiri kerana tidak tahu menahu tentang cerita perkahwinan sahabatnya itu.

“Permintaan itu tak dapat dipenuhi kerana enam dewan yang ada sudah penuh. Saya pun seperti kebanyakan lain  yang tidak tahu dia akan berkahwin pada tarikh itu. Jadi perbualan kami terhenti di situ.

“Selang beberapa hari, saya dikejutkan dengan  undangan majlis persandingannya melalui kiriman WhatsApp.

”Saya amat gembira dengan berita itu sampai lupa nak tak tanya dengan siapa dia akan berkahwin,” ujarnya.

Majlis resespi perkahwinan Heliza dan suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang diadakan pada 22 Januari lalu berlangsung di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor.

Heliza sahabat pemurah

Teruja dengan berita yang diterimanya itu, Mila tekad merealisasikan hasrat yang pernah disuarakan kepada Heliza sebelum ini.

“Saya imbas kembali kenangan pada tahun 2019, di mana dia ada anjurkan majlis bersama peminat di salah satu dewan Bizmilla. Ketika itu saya sempat berseloroh kepadanya. Saya kata, kalau dia kahwin syarikat saya wajib uruskan majlis dan jadi lokasi persandingan.

“Mungkin ketika itu dia ingat saya bergurau sahaja. Tapi jauh di sudut hati saya, kata kata itu sebenarnya serius dan mahu dijadikan kenyataan.

“Alhamdulillah, hasrat saya Allah makbulkan. Saya bersyukur dapat memberi sedikit kegembiraan dan meraikan sahabat saya ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mila berkata, Heliza pada awalnya berkali-kali menolak hadiah tajaan itu dan menganggap dia tidak layak  menerimanya.

“Namun, saya teringat kata kata yang dia sering ungkapkan andai dberi hadiah tetapi saya menolaknya. Heliza akan cakap, Rasulullah tidak pernah menolak hadiah pemberian sahabatnya.

“Saya turut menggunakan modal kata kata yang sama dan dia akhirnya bersetuju. Saya tak anggap ini sebagai tajaan, tapi lebih kepada hadiah kahwin,” luahnya.

Iklan

Dedah Mila lagi, Heliza yang dikenalinya ketika sama-sama menyertai Akademi Fantasia musim kelima itu seorang yang sangat pemurah dan tidak berkira. Malah selebriti yang aktif dengan kerja-kerja amal dan kemanusiaan itu sentiasa memberi hadiah.

“Sikap pemurahnya yang suka menghadiahkan itu dam ini, tidak pernah saya kongsikan kepada umum.

“Malah saat  mula ingin berhijrah dan berhijab, saya banyak berhubung dengannya dan dia memberikan banyak input berguna agar kekal istiqamah. Dia juga terus memberikan saya beberapa helai tudung dan jubah.

“Hubungan kami ini jauh di mata tapi dekat di hati. Kami pasti sering mendoakan antara satu sama lain.

Iklan

”Sewaktu ‘lockdown’, dia juga banyak menyokong perniagaan saya dengan membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan Bizmilla di media sosialnya secara percuma,” katanya.

Berkongsi tentang majlis tersebut, Mila berkata, busana daripada kain songket yang dipakai pasangan pengantin itu dijahit oleh pasukan kerja Bizmilla Bridal sendiri.

Begitu juga dengan kek perkahwinan pula, menu hidangan, dekorasi dewan  dan pelamin kesemuanya daripada idea Mila dan pasukan Bizmilla sendiri.

 

(FOTO: Bizmilla Wedding Centre)