PELAKON Rozita Che Wan menegaskan tidak akan berlakon dengan mana-mana pelakon yang belum mengambil vaksin.

Jelas Rozita yang mesra dengan panggilan Che Ta, dia enggan mengambil risiko memandangkan mempunyai anak kecil di rumah.

“Pada pandangan saya, pelakon yang enggan ambil vaksin tetapi mahu kembali bekerja ini tidak bertanggungjawab sebab dia tak fikirkan orang lain.

“Malah production saya pun nak memulakan penggambaran tidak lama lagi, kami sudah maklumkan semua pelakon perlu vaksin dua dos.

“Lagipun kita kena ikut peraturan yang ditetapkan oleh Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara). Tak naklah disebabkan dia seorang, akan libatkan orang lain yang boleh bekerja,” ujarnya ketika sidang media pelantikannya sebagai duta Himaya pada Rabu.

Che Ta telah lengkap mengambil dua dos vaksin awal Ogos lalu.

Tambah Che Ta, 48, dia juga tidak pasti seandainya ada pelakon yang tetap diambil bekerja biarpun belum mengambil vaksin atas alasan kontrak.

“Saya rasa memang tak boleh teruskan penggambaran kalau ada yang belum vaksin. Kalau Finas tahu, tak mustahil kena tarik lesen.

“Saya tak tahu bagaimana ada produksi yang boleh lepas penggambaran (bagi pelakon atau kru yang belum divaksinkan) sebab kita kena hantar senarai pelakon dan kru kepada Finas,” jelasnya.

Iklan

Sementara itu, Che Ta dilantik sebagai duta baharu Himaya melengkapkan barisan duta sedia ada iaitu Erra Fazira, Elfira Loy, Wany Hasrita, Amira Othman dan Nabila Razali.

Lebih istimewa, pelantikan beliau juga seiring dengan Kempen Kutipan Dana Untuk bagi Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Iklan

Justeru, bagi menyatakan sokongan terhadap pesakit barah payudara, Himaya tampil mengadakan Kempen Kutipan Dana Untuk MAKNA bermula semalam hingga 31 Oktober depan.

Untuk setiap pembelian pelitup muka Himaya, RM2 akan disumbangkan kepada tabung MAKNA.