"Saya tidak mahu dibayangi atau menumpang popularitinya.."- Zali Rusli

01 zali rusli - single lafaz
01 zali rusli - single lafaz
A
A
A

MAHU berdiri di atas kaki sendiri, penyanyi muda berbakat besar, Zali Rusli tidak gentar berdepan cabaran demi membina nama dan pengaruh dalam industri.

Meski populariti abangnya, Haqiem Rusli turut memberi tempias, pemilik nama penuh Ahmad AlGhazali Rusli itu lebih selesa jika peminat mengenali dirinya melalui bakat yang dimiliki.

“Saya lebih selesa bermula dari bawah dan berdiri di atas nama serta bakat saya sendiri untuk menempatkan diri dalam industri.

“Seawal kemunculan dalam bidang seni, saya sering dikaitkan dengan nama abang yang terlebih dahulu dikenali ramai.

“Kalau boleh saya tidak mahu dibayangi atau dikatakan menumpang popularitinya.

Saya okey sahaja jika orang tidak kenal saya sebagai adik Haqiem Rusli kerana saya yakin dengan kemampuan sendiri,” ujarnya.

Penyanyi remaja berusia 18 tahun itu percaya masanya akan tiba biarpun perlu terlebih dahulu melalui pelbagai cabaran.

Mengakui single pertama, Pewangi yang dilancarkan dua tahun lalu tidak berjaya melonjakkan namanya, Zali tidak pernah berputus asa.

“Ketika itu pandemik sedang melanda dunia dan aktiviti seni terbatas, jadi single sulung saya hasil ciptaan Haqiem Rusli dan Ibnu itu tidak dapat dipromosikan dengan sebaiknya.

“Mungkin belum rezeki saya untuk menyerlah dan berkongsi bakat dengan peminat muzik di luar sana,” katanya.

Ciptaan bersama

Tidak mahu patah semangat, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu kembali tampil dengan buah tangan terbaharunya, Kamu Cantik Malam Ini. Single kedua itu cukup istimewa kerana ia merupakan karya ciptaannya sendiri bersama Haqiem.

“Bukan saya menolak lagu ciptaan komposer lain, tetapi buat masa sekarang saya rasa lebih selesa menyanyikan lagu ciptaan saya bersama Haqeim, malah ia mendapat persetujuan daripada syarikat rakaman, FMC Music.

Kamu Cantik Malam Ini adalah lagu balada dan saya percaya genre sebegini lebih mudah diterima dan lekat di hati pendengar.

“Melihat situasi sekarang, ramai pendengar sukakan lagu-lagu jiwang ala era 1990an. Jadi saya rasa lagu ini memang bertepatan dengan konsep dan selera dan pendengar masa kini,” akuinya.

Ditanya mengapa dia tidak mengikut jejak rakan artis senior di FMC Music yang kini cenderung merakam kembali lagu popular era itu untuk diketengahkan, Zali mempunyai alasannya sendiri.

“Saya yakin jika kita boleh mencipta satu karya baharu yang boleh di popularkan dan masih menepati selera pendengar, kenapa kita nak bergantung pada lagu lama?

“Apa yang saya harapkan agar single kedua ini dapat diterima pendengar kerana saya ikhlas untuk berada dalam industri hiburan ini kerana minat,” katanya.

Kamu Cantik Malam Ini boleh didengari di semua platform muzik digital mulai 29 Disember lalu, manakala vide muziknya pula boleh ditonton menerusi di saluran YouTube FMC Music.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca