LARI dari kisah stereotaip yang sering dipaparkan di kaca televisyen, telefilem Sekolah Sampah terbitan Arie Zaharie Production Sdn Bhd memaparkan kisah kecekalan seorang pengembara dan usahanya dalam memberi didikan yang adil saksama kepada kanak-kanak yang tidak berkemampuan.

Telemovie yang bakal di disiarkan di saluran Astro Citra itu memberi penekanan kepada kepentingan ilmu bagi semua tidak kira darjat, status atau kemampuan kita.

Penceritaan berdurasi 94 minit ini mengisahkan Adam, seorang backpacker berumur 30-an menetap di Sandakan yang bercita-cita untuk mengembara ke seluruh Sabah.

ALIFF AZIZ
Aliff membawakan watak penggembara bernama Adam.

Sebelum pengembaraannya bermula, Adam mendapat tahu kisah kanak-kanak pengemis yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran mereka di sekolah.

Kanak-kanak tersebut tinggal di Kampung Sampah dan menyara hidup dengan mengutip serta menjual barangan terbuang.

Bagi memberi kesamarataan dalam pendidikan kepada mereka, Adam nekad mendidik anak-anak itu dengan membina Sekolah Sampah sehingga mengorbankan impian pengembaraannya.

Iklan

Telefilem yang mampat dengan harapan dan impian serta merungkai isu-isu ketidaksamarataan yang relevan dalam kalangan masyarakat ini mengangkat empat orang pelakon iaitu Aliff Aziz sebagai Adam, Bella Astillah sebagai Nureen, Pasqueletta Joan Paulus sebagai Erna dan Aidil Zaquan Astillah sebagai Adi.

Iklan

Sekolah Sampah diarahkan oleh pelakon dan penyanyi keluaran Akademi Fantasi musim kelima, Ebi Kornelis dan turut didukung oleh barisan pelakon baharu yang hebat seperti Rubisa Tiasin, Nuhamizan Syahmi Musa, Syed Haiqal Saputra, Fatima Nadhira, Sahrah Asor, Ejin Dinting dan Jaipin Leggau.

Apakah yang akan berlaku seterusnya kepada Adam? Saksikan jawapannya dengan menonton telefilem ini pada hari Sabtu, 28 Mei, jam 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Citra (108) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.