PELAKON Raysha Rizrose, sah menjadi milik usahawan dan pelumba kereta Formula 2, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, 29, apabila selamat disatukan sebagai suami isteri pada majlis ijabkabul yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, pada malam Rabu.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fairudz Saderi, dengan hanya sekali lafaz.

Pada majlis yang diadakan secara tertutup dengan kehadiran 200 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat itu, Rasya atau nama lengkapnya Farza Naquraisha, 26, menerima mas kahwin RM2,222 beserta tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Menawan mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, pemenang Dewi Remaja 2014/2015 itu bersyukur apabila segala perancangan diatur berjalan lancar.

“Syukur segala-galanya yang dirancang salama ini dipermudahkan. Saya amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.

“Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya yang juga merupakan adik kepada pelakon Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose.

Berkongsi percintaannya dengan suami yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu, Raysha berkata, kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan mereka.

“Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.

“Dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Bagaimanapun kami banyak bertolak-ansur, selain kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” katanya.

Saling melengkapi

Tambah bintang filem Seandainya Kau Ada itu lagi, suami sentiasa menjadi inspirasi dalam hidupnya selama ini.

“Dia sentiasa mendorong saya menjadi lebih baik dan melengkapi segala-galanya,” ujar anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, Nabil Jeffri menganggap Raysha sebagai wanita yang banyak menyuntik semangat buatnya.

“Dia (Raysha) sentiasa ada ketika saya memerlukan. Di saat berada di tahap paling bawah dan sedih, dialah yang tak pernah berpaling daripada saya. Pada ketika saya perlu berada di luar negara kerana urusan kerja, dia sentiasa dekat dengan diri saya dan menyokong dari kejauhan.

“Kebijaksanaannya juga menambat hati saya. Dia seorang yang memahami dan matang. Malah kualiti lain yang mencuri perhatian saya ialah dirinya memang pandai membawa diri, sentiasa santun dan menghormati orang,” kata Nabil Jeffri yang berharap agar jodoh bersama Raysha akan berkekalan selamanya.

Iklan

Mengenai anak dan percutian bulan madu, Rasya mengakui belum sempat membuat sebarang perancangan.

“Banyak komitmen dan kerja yang saya kena selesaikan selepas kahwin. Sejujurnya, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini.

“Soal anak pula, saya dan suami tidak meletakkan ketetapan. Bagi kami perihal cahaya mata ini, insya-Allah kalau ada rezeki ia akan datang tepat pada waktunya,” ujarnya yang akan lebih selektif memilih watak dalam lakonannya selepas bergelar isteri.

Terdahulu, Raysha dan Nabil Jeffri melangsungkan pertunangan pada 22 Disember 2022, bagaimanapun hanya berkongsi berita tersebut kepada umum pada 14 Februari lalu.

Iklan

Pasangan itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang akan berlangsung pada 26 Februari ini di lokasi sama majlis pernikahan.

(FOTO: Jaydee Mohamad)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.